Ismail Sabri mahu Al Jazeera mohon maaf


shadow

MENTERI Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini menuntut permohonan maaf daripada saluran berita antarabangsa Al Jazeera berhubung dokumentarinya yang mendakwa Putrajaya mendiskriminasi pendatang tanpa izin semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Saya menuntut agar Al Jazeera meminta maaf atas maklumat dan laporan tidak benar itu. Tentu saja kami akan bertindak terhadap orang asing yang tidak sah. Walaupun selepas mereka diuji negatif terhadap virus tersebut, mereka masih akan ditahan kerana melanggar undang-undang.”

“Saya cabar Al Jazeera menamakan satu negara yang tidak akan mengambil tindakan terhadap warga asing atau pendatang asing tanpa dokumentasi yang betul,” kata menteri pertahanan dan jurucakap Majlis Keselamatan Negara pada taklimat harian mengenai larangan pergerakan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

“Kami bertindak mengikut undang-undang. Di bawah Akta Imigresen, sesiapa yang tidak mempunyai dokumen atau tanpa dokumen yang sah boleh ditahan,” Ismail Sabri.

Beliau juga berkata tiada anak pendatang yang gari semasa serbuan pihak imigresen seperti dilaporkan oleh Al Jazeera dalam dokumentari 20 minitnya, “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”.

“Tiada kanak-kanak yang digari dan mereka ditempatkan bersama ibu bapa di sel lain, bukan bersama individu lain.

“Kami membawanya untuk pemeriksaan dan membayarnya. Kami menyediakan makanan untuk mereka,” katanya.

“Apa yang dilaporkan oleh Al Jazeera bukan setakat satu pembohongan tetapi dibuat tanpa fakta yang tepat dan kajian menyeluruh.”

Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin juga mempertahankan serbuan terhadap warga asing yang tiada dokumen dalam tempoh PKP, berkata kepada Al Jazeera bahawa “rakyat Malaysia menjadi keutamaan”.

“Kami tidak ambil peduli dengan apa yang dikatakan media asing, kerana mereka sering menyebarkan cerita karut,” kata Hamzah pada sidang media di Pelabuhan Klang.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba juga mengecam tuduhan dibuat dalam dokumentari itu, berkata tindakan yang diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bertujuan melindungi penduduk tempatan dan warga asing daripada Covid-19. 

Tinggalkan komen anda