Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, hari ini hadir memberi keterangan kali kedua di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Beliau tiba di pejabat SPRM pada jam 12.40 tengah hari bersama peguamnya, RSN Rayer.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan sepatutnya tiba di SPRM jam 10 pagi, namun lewat disebabkan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya dari Pulau Pinang pancit di Simpang Pulai, Ipoh ketika dalam perjalanan ke Putrajaya.
Rabu lalu beliau dipanggil SPRM buat kali pertama untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa EXCO dan bekas EXCO kerajaan Pulau Pinang dilaporkan turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega berkenaan yang membabitkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.
Sehingga kini, SPRM sudah menahan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan tiga syarikat diserbu kerana dipercayai ada kaitan dengan projek berkenaan.
Kes itu disiasat oleh SPRM sejak 2017.
Tinggalkan komen anda