Guan Eng akan beri keterangan pada prosiding taksir ganti rugi kes samannya


shadow

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan memberi keterangan pada prosiding menaksir jumlah ganti rugi saman fitnah beliau terhadap penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin berhubung dakwaan rasuah dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Peguam Lim, Simon Murali memberitahu pemberita pentaksiran jumlah ganti rugi itu susulan penghakiman ingkar yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi kepada Lim pada 28 Feb.

“Mahkamah menetapkan 21 Ogos ini untuk pendengaran dan kami memaklumkan mahkamah yang setakat ini hanya seorang saksi pihak plaintif akan memberi keterangan iaitu Lim sendiri,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Datin Rohani Ismail di dalam kamar hari ini.

Pada 28 Feb, Lim yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak menentang saman berkenaan.

Lim memfailkan saman fitnah pada 6 Sept tahun lepas berhubung satu siri artikel “Dari Fail SPRM” yang disiarkan dalam kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today kepunyaan Raja Petra antara 24 Feb hingga 15 Mac 2019.

Artikel-artikel yang didakwa berunsur fitnah itu adalah berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dalam projek infrastruktur berkenaan.

Lim menuntut ganti rugi teladan atas alasan Raja Petra telah mendapat keuntungan daripada jumlah pembaca yang ramai bagi kesemua artikel.

Beliau juga menuntut permohonan maaf di halaman muka depan akhbar dan satu perintah injunksi untuk menghalang blogger itu daripada mengulangi dakwaannya.

Setiausaha Agung DAP itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar selepas Raja Petra gagal memberikan maklum balas terhadap notis saman yang diiklankan Lim melalui tiga akhbar pada 10 Feb tahun ini.

Sebelum itu, Lim cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhirnya yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya namun gagal.

– Bernama

Jadilah pelang

Tinggalkan komen anda