Dibelenggu masalah kewangan serta mempunyai jumlah pekerja asing haram yang ramai menyebabkan segelintir majikan di sektor pembinaan tidak melakukan ujian saringan COVID-19.
Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid, berkata dapatan itu diperolehi hasil kaji selidik yang dijalankan bulan lalu.
Beliau berkata, bagi menyelesaikan isu berkenaan, CIDB bekerjasama dengan pelbagai pihak antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), membantu majikan menerusi penyediaan skim pembiayaan untuk ujian COVID-19.
“Masalah paling besar mengikut kaji selidik kita bulan lalu menunjukkan 35 peratus (syarikat) belum beroperasi kerana masalah kewangan, manakala 21 peratus disebabkan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) khususnya dari segi ujian COVID-19 yang memerlukan kos, giliran dan masa panjang.
“Masalah lain sekarang ini, sebab syarikat beroperasi dalam kapasiti rendah kerana kekurangan pekerja membabitkan pekerja asing.
“Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), ramai balik ke negara masing-masing dan sekarang mereka tak dibenarkan masuk pun (ke Malaysia).
“Banyak pekerja asing pun haram. Apabila haram tak boleh datang buat ujian. Jadi, bila tak buat ujian, nak datang kerja (di tapak pembinaan) pun tak berani,” katanya pada sidang media selepas meninjau program ujian saringan COVID-19 melalui Program Saringan Prihatin (PSP) PERKESO di Pusat Konvensyen CIDB di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Ir Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.
Seramai 700 pekerja warga asing dari 59 syarikat kontraktor hadir menjalani ujian saringan COVID-19 itu yang bermula seawal jam 8 pagi.
Program yang pertama kali diadakan itu adalah kerjasama antara CIDB dengan PERKESO yang membolehkan kontraktor di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor menghantar pekerja mereka bagi menjalani ujian saringan COVID-19.
Mengenai kerugian dialami sektor pembinaan sejak tidak dibenarkan beroperasi susulan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu, Ahmad Asri berkata, berdasarkan analisis CIDB, dalam tempoh sebulan penutupan sepenuhnya sektor itu mengakibatkan kerugian sekitar RM11 bilion.
Namun, katanya, setelah dibenarkan beroperasi secara berperingkat sejak 13 Mei lalu, nilai kerugian berkurangan kepada RM6.2 bilion
Sementara itu, menurut Syed Omar, lebih 13,000 pekerja asing dalam sektor pembinaan sudah menjalani ujian saringan COVID-19 melalui PSP PERKESO sejak ia mula dilaksanakan pada 27 April lalu.
Sehingga kini, katanya, seramai 33,613 pekerja warga asing meliputi pelbagai sektor menjalani ujian saringan COVID-19 yang mana daripada jumlah itu, sebanyak 40 peratus adalah dari sektor pembinaan.
Tinggalkan komen anda