Satu kluster yang berkaitan dengan saringan pekerja di sebuah tapak pembinaan yang dikesan pada 10 Mei lalu, diisytiharkan tamat hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Pudu yang membabitkan kediaman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu sebelum ini mempunyai 80 kes positif COVID-19 selepas seramai 3,387 individu disaring hingga semalam.
Kes positif COVID-19 pertama dalam kluster itu dikesan pada 10 Mei lalu, susulan saringan yang dijalankan terhadap pekerja, atas inisiatif majikan syarikat terbabit.
“Hingga 3 Julai lalu, seramai 3,387 sudah disaring dan didapati 80 kes yang positif COVID-19, dengan kadar positif 2.36 peratus. Kes positif kluster ini membabitkan 97.5 peratus bukan rakyat Malaysia. Warganegara yang terbabit adalah 69 warga Bangladesh; tujuh warga Myanmar; masing-masing dua warga Indonesia dan Malaysia.
“Kawalan pentadbiran sudah dilaksanakan di kawasan kluster ini dengan bantuan pelbagai agensi lain bagi menjalankan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan seterusnya langkah pembendungan penularan jangkitan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, hasil siasatan mendapati penginapan yang sesak dan ruang yang sempit menjadi faktor penyumbang kepada penularan jangkitan COVID-19 dalam kluster itu.
Keadaan itu menyebabkan tiada amalan penjarakan sosial yang selamat dalam kalangan mereka yang dikesan positif.
Pada 15 Mei lalu, BH melaporkan Jalan Pasar Pudu, di Kuala Lumpur mula dikawal ketat dan dipasang pagar kawat duri sekali gus menjadikannya seperti Jalan Raja Bot, Chow Kit, yang sebelum itu diisytiharkan sebagai kawasan yang diperketatkan kawalan secara pentadbiran.
Selain itu, ribuan penduduk di kawasan sekitar Jalan Pudu membabitkan Jalan Landak, Jalan Pasar dan Jalan Brunei, diarahkan menjalani pemeriksaan yang dilakukan oleh kakitangan KKM.
Rata-rata individu yang diperiksa adalah mereka yang mendiami rumah kedai lima tingkat di sekitar kawasan itu dengan sebahagian besar daripada mereka adalah warga asing.
Tinggalkan komen anda