Seramai 620 individu yang kuarantin di rumah, masih belum menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua pada hari ke-13 diwajibkan terhadap mereka, setakat ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata justeru kerajaan memohon kerjasama pihak terbabit untuk tampil melakukan ujian saringan berkenaan.
“Mereka boleh menghubungi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk maklumat lanjut.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan jika mereka gagal berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Pada sidang media di Putrajaya, semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, polis akan memburu lebih 1,400 rakyat Malaysia yang kuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara tetapi masih belum menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua hingga kini.
Beliau dipetik sebagai berkata, golongan itu wajib menjalani saringan kedua pada hari ke-13 selepas didapati negatif pada ujian pertama.
Jika gagal berbuat demikian, Ismail Sabri berkata, mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan akan dikenakan tindakan bawah Akta Pencegahan serta Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Tinggalkan komen anda