Beri jalan kepada orang lainlah, kata Ku Li pada Zahid dan Najib


shadow

Berkorban jika sayangkan orang Melayu – itu pesanan diberi ahli politik kanan Umno Tengku Razaleigh Hamzah kepada dua orang kuat parti berkenaan ketika ini, Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Tengku Razaleigh kedua-dua mereka perlu melakukan tindakan tersebut kerana Umno dilihat ‘cacat’ pada pandangan rakyat buat masa ini.

Pengorbanan yang dimaksudkan beliau, menurut laporan Utusan Malaysia, ialah dengan memberikan laluan kepada orang lain dalam kepemimpinan parti tersebut.

“Beri jalan kepada orang lainlah,” katanya.

Tengku Razaleigh yang juga pengerusi Jemaah Penasihat Umno memberitahu beliau tidak pasti sama ada Ahmad Zahid atau Najib akan bertanding lagi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Namun katanya kedua-dua ahli parlimen itu perlu melakukan pengorbanan jika mereka sayangkan orang Melayu seperti yang ditegaskan dalam Umno.

Untuk rekod Ahmad Zahid merupakan presiden Umno yang kini berdepan hampir 50 pertuduhan di mahkamah, termasuk 12 membabitkan dakwaan pecah amanah.

Najib pula berdepan puluhan tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

Sekejap saja, lima tahun

Dalam keadaan begitu beliau dilantik menjadi pengerusi Lembaga Penasihat BN pada Jun 2019.

Kedua-dua mereka dituduh di mahkamah selepas Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya pada 2018. Bagaimanapun ketika ini PH menjadi pembangkang dan Umno menjadi sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional.

Dalam pemilihan Umno pada 2018 Tengku Razaleigh bertanding untuk jawatan presiden namun kalah kepada Ahmad Zahid. Turut menyertai saingan berkenaan ialah bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan dua calon lain yang kurang dikenali.

Menurut Tengku Razaleigh, Ahmad Zahid dan Najib perlu mengutamakan Umno berbanding hal lain.

“Kalau tidak, kita (Umno) tidak ke mana. Pengorbanan itu penting, dalam agama pun dituntut kepada pengorbanan, dalam masyarakat kita pun ada pengorbanan.

“Sekejap sahaja, satu penggal lima tahun,” katanya.

Tinggalkan komen anda