Bank kerugian RM79 bilion sepanjang moratorium


shadow

Bank-bank dijangka mengalami kerugian pengubahsuaian sebanyak RM79 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan moratorium selama enam bulan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, ini adalah jumlah yang boleh dipinjamkan bank-bank terbabit kepada individu dan peniaga dalam keadaan perniagaan biasa bagi tempoh April hingga September tersebut.

“Bagi tempoh enam bulan moratorium yang diberikan secara keseluruhan, jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM6.4 bilion yang bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 billion sama ada kepada rakyat atau peminjam.

“Demi memastikan rakyat terus terpelihara jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, kerajaan akan sentiasa memantau keadaan dan perkembangan semasa serta akan mengambil tindakan yang diperlukan seperti yang dibuat sebelum ini,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada moratorium kewangan oleh bank-bank akan dilanjutkan enam bulan lagi.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata sistem perbankan negara dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan tempoh moratorium dilanjutkan mengikut Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 9.

Menurutnya, Malaysia merupakan antara negara terawal didunia yang melaksanakan moratorium secara automatik dan menjadi negara pertama memperkenalkan moratorium selama enam bulan.

Antara negara yang melaksanakan langkah itu ialah Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, United Kingdom, Kanada, Itali dan Amerika Syarikat.

Selain itu, menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) mengenai impak positif moratorium kepada rakyat dan ekonomi negara, Tengku Zafrul berkata nilai moratorium yang telah diberi setakat 20 Julai lepas mencecah RM59 bilion.

Malah, secara keseluruhannya, moratorium itu telah memanfaatkan sejumlah 7.7 juta rakyat Malaysia yang merangkumi 93 peratus peminjam individu, kata beliau.

“Saya yakin langkah moratorium ini telah sedikit sebanyak membantu rakyat mengharungi tempoh mencabar PKP akibat Covid-19.

“Dalam perbincangan yang sedang dijalankan dengan Bank Negara Malaysia dan sektor perbankan mengenai hala tuju masa depan, mereka telah memberi komitmen untuk terus membantu rakyat dan perniagaan yang memerlukan bantuan dalam tempoh mencabar ini,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, keputusan perbincangan tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

– Bernama

Tinggalkan komen anda