Azhar Harun nafi arah mahkamah tangguh prosiding kes 1MDB Najib


shadow

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun nafi mengarahkan hakim mahkamah menangguhkan prosiding kes 1MDB melibatkan Najib Razak (PN-Pekan) bagi memberi laluan kepada bekas perdana menteri itu berbahas di Dewan Rakyat pada Khamis lepas.

Sebaliknya, beliau menulis surat memohon hakim mempertimbangkan permohonan untuk Najib hadir ke Parlimen untuk perbahasan menjunjung kasih ucapan Agong pada hari itu, ruang waktu yang memang diperuntukkan untuk wakil rakyat itu.

Azhar mengingatkan “kita ada doktrin pembahagian kuasa, di mana kuasa mahkamah dan eksekutif adalah sama”.

“Saya tidak perintah atau apa-apa pun. Keputusan ini dibuat atas budi bicara saya. Maka saya memohon pertimbangan hakim, bukan saya arahkan beliau,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, menjawab Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim).

Chang mempersoalkan apakah keperluan Azhar menggunakan kedudukan speaker meminta mahkamah menangguhkan prosiding kes Najib.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah pada Khamis menangguhkan prosiding pada 3.15 petang, lebih awal daripada masanya, bagi membolehkan Najib menghadiri sidang Dewan Rakyat selepas menerima surat daripada Azhar.

Najib, 67, berdepan 4 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung keesokannya.

Tinggalkan komen anda