Anwar juga buat, kenapa saya tak boleh, soal Adun PKR yang dipecat


shadow

ADUN Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim hari ini mengecam PKR kerana memecatnya tanpa memberikan sebab jelas pemecatan atau peluang membela diri.

Katanya, sehingga sekarang beliau masih tidak mengetahui punca sebenar pemecatannya daripada parti.

“Sehingga kini saya tidak diberikan alasan yang kukuh dan tidak langsung diberi peluang untuk membela pertahankan diri.

“Mengapa Jawatankuasa Disiplin parti tidak langsung panggil saya untuk mengadakan siasatan dalaman?” soalnya pada satu sidang media di Sungai Acheh, Pulau Pinang, hari ini.

Katanya lagi, PKR juga mengamalkan sikap pilih kasih jika beliau dipecat kerana berjumpa dengan politikus Perikatan Nasional.

“Kenyataan mana saya buat dianggap salah oleh parti?

“Jika Anwar Ibrahim boleh berjumpa dengan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dan (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin, saya (pula) berjumpa Muhyiddin Yassin, salahkah?”

Anwar ketika mengulas pertemuan dengan Hamzah dan Muhyiddin berkata ia tidak melibatkan sebarang perbincangan kerjasama parti tetapi hanya lawatan untuk membincangkan isu semasa, isu kementerian dalam negeri dan menyatakan pandangan pihak pembangkang.

Susulan pemecatan itu, Zulkifli hari ini juga mendedahkan beliau akan menyokong PN.

“Saya kini pilih teguh bersama Perikatan Nasional bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Saya yakin kerajaan PN mengutamakan kepedulian rakyat.

“Sidang Dewan Undang Negeri akan datang, saya akan bersama blok pembangkang,” katanya.

Zulkifli adalah salah seorang daripada tiga pemimpin PKR Pulau Pinang yang dipecat parti pada 30 Jun lepas. Dua yang lain ialah Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin dan Ketua Wanita negeri Nur Zarina Zakaria.

Ia berlaku selepas gambar Zulkifli, Dr Afif dan beberapa pemimpin Bersatu berjumpa dengan Muhyiddin di Putrajaya tular di media sosial.

Tinggalkan komen anda