Ahli Parlimen pembangkang bantah ubah tempat duduk di Dewan Rakyat


shadow

Ahli Parlimen pembangkang hari ini membantah perubahan tempat duduk mereka di Dewan Rakyat dan mempersoalkan kenapa kedudukan wakil rakyat dikekalkan.

Perkara itu dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempertikaikan mengapa kedudukan ahli Parlimen pembangkang sering diubah-ubah sejak minggu pertama persidangan Dewan Rakyat yang bermula 13 Julai lalu.

“Minggu lalu, kami dari Pakatan Harapan diminta duduk di sebelah kiri speaker Dewan Rakyat, ketika itu kedudukan selesa, tetapi tidak ada mikrofon dan komputer. Tetapi, hari ini kami dipindahkan untuk duduk di galeri orang awam yang dikhaskan untuk orang awam.

“Apakah ini cara untuk mengekang perbahasan ahli Parlimen dari PH? Ini tidak adil. Kalau dilihat, ahli Parlimen dari Perikatan Nasional tidak ada penjarakan sosial, mereka sungguh selesa.

“Saya akur SOP kesihatan perlu dipatuhi, tetapi jangan guna kesempatan dan alasan itu untuk menarik, mengekang kemudahan yang diberikan kepada kita. Ini tidak adil,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Azhar menafikan dakwaan Rayer yang tindakannya mengubah tempat duduk ahli Parlimen pembangkang bertujuan mengekang perbahasan mereka di Dewan Rakyat, sebaliknya beliau memberi jaminan kebebasan bersuara akan diteruskan.

“Sebenarnya, setelah ditetapkan tempat duduk minggu lalu, terdapat aduan tempat duduk itu tidak sesuai, ada titik buta yang menyebabkan sedikit sukar dari aspek visual. Apabila berdiri, kamera tidak dapat rakam, jadi saya sendiri turun dan lihat kalau kita ubah.

“Sebelum saya buat keputusan, setiausaha Dewan Rakyat telefon ketua whip dan meminta pandangan beliau dan setuju berikan percubaan pada minggu ini. Kalau tidak sesuai, terpaksalah kita kembali ke tempat asal. Saya beri jaminan tidak ada niat untuk mengekang perbahasan.”

Tinggalkan komen anda