81 peratus selesa bekerja dari rumah


shadow

 Sebanyak 81 peratus daripada 1,175 responden bagi tinjauan pendapat secara dalam talian dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengakui selesa bekerja dari rumah.

Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah, berkata tinjauan berkenaan turut mendapati 50 peratus daripada keseluruhan responden memilih untuk bekerja beberapa hari di pejabat serta rumah, jika diberi pilihan.

Selain itu, katanya, sebanyak 25 peratus memilih untuk terus bekerja dari rumah dan hanya 19 peratus tidak bersetuju dengan cadangan untuk kekal dengan kaedah berkenaan.

“Sebanyak 63 peratus daripada responden memilih untuk bekerja di pejabat atau tempat kerja, berbanding rumah, manakala satu daripada dua pekerja menyatakan produktiviti mereka meningkat apabila bekerja dari rumah.

“Majoriti responden (52 peratus) menyatakan gangguan di rumah sebagai cabaran atau kebimbangan terbesar, diikuti masalah kekal bermotivasi (35 peratus), kekurangan ruang khas (33 peratus), takut dengan potongan gaji (32 peratus), menguruskan beban kerja (31 peratus) dan takut kehilangan pekerjaan (30 peratus).

“Bagaimanapun, kajian lebih terperinci mengenai kaedah bekerja dari rumah perlu dilakukan bagi memastikan ia dapat memenuhi objektif pelaksanaan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Penduduk Sedunia dan Bekerja dari Rumah dengan tema ‘Hentikan Penularan COVID-19: Lindungi Hak serta Kesihatan Wanita dan Gadis’ yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.

Tinjauan LPPKN itu dilakukan sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020 mengenai impak COVID-19 dan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif, pada 17 hingga 20 Julai lalu.

Antara topik ditanya kepada responden adalah perubahan tingkah laku dan gaya hidup; bekerja dari rumah dan perancang keluarga.

Abdul Shukur berkata, pandemik COVID-19 bagaikan fenomena mengubah landskap rutin kehidupan manusia secara global dan kaedah bekerja dari rumah digunakan hampir semua majikan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan semua pekerja mereka.

“Ia sebagai sokongan kepada kerajaan yang melaksanakan PKP bagi memutuskan rantaian COVID-19, pada 18 Mac lalu.

“Meskipun kaedah ini mencabar, ia dapat membantu ramai wanita berkeluarga terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi komunikasi serta terlindung daripada risiko jangkitan COVID-19,” katanya.

Tinggalkan komen anda