8 kes baru Covid-19, satu kematian direkod selepas sebulan


shadow

Sebanyak lapan lagi kes baru Covid-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini adalah sebanyak 67 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada lapan kes tersebut, empat merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia.

“Daripada empat kes penularan di dalam negara pula, dua kes adalah di kalangan warganegara dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes jangkitan dalam negara yang membabitkan warga tempatan itu melibatkan seorang pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak, manakala kes di Sabah membabitkan seorang pesakit yang telah dirujuk ke hospital selepas menjalani saringan.

Kes jangkitan dalam negara yang membabitkan warga asing pula melibatkan kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, di mana kedua-dua kes ini disaring semula sebelum proses penghantaran pulang ke negara asal.

Noor Hisham turut memakluman seorang pesakit meninggal dunia, menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat wabak berkenaan adalah sebanyak 122 kes.

Kematian terbaru itu membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis. 

Kali terakhir kematian direkodkan akibat wabak berkenaan adalah pada 11 Jun lalu.

Menurut Noor Hisham, pesakit berkenaan mendapatkan rawatan tradisional beberapa kali sejak 3 Julai dan kemudian ke sebuah hospital swasta pada 9 Julai sebelum dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak selepas disyaki positif Covid-19.

“Beliau kemudiannya disahkan positif Covid-19, kesihatan beliau terus merudum dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Beliau telah disahkan meninggal dunia pada 10 Julai 2020 jam 5.49 petang,” katanya.

Sehingga kini, terdapat tiga kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tinggalkan komen anda