7,469 notis kompaun kepada perokok


shadow

Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 7,469 kompaun berjumlah RM1.76 juta atas kesalahan merokok di kawasan larangan bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata seramai 5,752 perokok dewasa turut dikenakan notis kesalahan kerana merokok di kawasan larangan sepanjang tempoh terbabit.

“Notis juga dikeluarkan kepada 526 perokok berusia di bawah 18 tahun kerana kesalahan merokok,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang mahu Menteri Kesihatan menyatakan jumlah saman dikeluarkan kepada individu merokok di kawasan larangan mengikut negeri serta jumlah kutipan denda diterima.

Dr Adham berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 933 notis kesalahan dikeluarkan kepada pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok, manakala 263 lagi dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing.

“Lima negeri mencatatkan jumlah notis kesalahan tertinggi iaitu Pahang (1,103); Selangor (783); Negeri Sembilan (772); Johor (768) dan Perak (612).

“Wilayah Persekutuan Labuan pula mencatatkan notis kesalahan terendah iaitu sebanyak 33 notis,” katanya.

Tinggalkan komen anda