37 individu tiba di KLIA positif COVID-19


shadow

Seramai 37 daripada 8,535 individu yang menjalani ujian saringan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 10 Jun lalu hingga semalam, didapati positif jangkitan COVID-19 dan sudah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka dikesan melalui saringan yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) sebaik mereka tiba di KLIA.

Beliau berkata, seramai 8,498 individu pula didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 37 individu lagi didapati positif dan sudah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Semalam, seramai 724 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 dari Vietnam, Indonesia, Singapura, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Brunei.

“Daripada jumlah itu, 723 individu diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala seorang individu dibawa ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah membuat 1,063 pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah dan mendapati mereka terbabit mematuhi SOP ditetapkan.

Pada masa sama, beliau berkata, masih ada 620 individu masih belum menjalani ujian saringan kali kedua pada hari ke-13 seperti yang diwajibkan.

Justeru, katanya, kerajaan memohon kerjasama individu terbabit untuk menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua dan menghubungi KKM) untuk maklumat lanjut atau berdepan tindakan daripada PDRM.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 53 tapak binaan di seluruh Malaysia semalam, membabitkan 89 penguatkuasa.

“Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB mendapati 38 tapak binaan mematuhi SOP yang ditetapkan dan lima tapak binaan diberi amaran selepas tidak patuh SOP manakala 10 tapak binaan tidak beroperasi.

“Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,660 tapak binaan manakala 484 tapak binaan lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran. Penguatkuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP,” katanya.

Tinggalkan komen anda