3 tahun untuk penerbangan antarabangsa pulih sepenuhnya


shadow

SYARIKAT penerbangan dijangka mengambil masa antara 18 bulan bagi sektor domestik dan tiga tahun bagi sektor antarabangsa untuk pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik Covid-19, kata Menteri Pangangkutan Wee Ka Siong.

Wee berkata demikian berdasarkan analisis yang dijalankan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), yang menjangkakan harga tiket penerbangan kembali normal kepada harga purata pada 2019 menjelang November ini.

Jangkaan adalah selepas syarikat penerbangan kembali menyediakan perkhidmatan penerbangan dengan kapasiti sebenar, katanya.

Bagaimanapun, ia masih bergantung kepada situasi pandemik Covid-19, jelas Wee pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Kementerian sudah mengarahkan Mavcom melaksanakan pemantauan pengenaan kadar tambang yang dikenakan syarikat penerbangan secara berterusan dan mengadakan sesi libat urus bagi memastikan harga tambang yang dikenakan adalah kompetitif,” katanya, semasa sesi soal jawab lisan hari ini.

Wee menjawab soalan dari Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) berhubung langkah Kementerian Pengangkutan mengenai harga tiket penerbangan antara Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia yang banya mendapat aduan kerana penumpang terlalu tinggi.

Menurut Wee, berdasarkan pemantauan Mavcom antara Jun hingga 8 Julai, harga tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak menunjukkan trend penurunan berbanding pada Mei.

“Bagi perjalanan bagi Julai 2020, Mavcom mendapati harga tambang terus menunjukkan kestabilan dan hampir menyamai harga purata yang ditawarkan pada 2019.

“Sebagai contohnya, harga tiket bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching untuk sehala ialah di antara RM200 hingga RM400, jika dibandingkan dengan harga yang telah dikenakan pada bulan Jun 2020 iaitu melebihi RM1,000,” jelasnya.

Wee menyarankan orang ramai membuat perancangan dengan membeli tiket penerbanga lebih awal untuk mendapatkan tawaran harga yang lebih murah berbanding pembelian di saat akhir.

“Penetapan harga tambang adalah berdasarkan kepada rasionalisasi sektor perkhidmatan udara domestik pada 2006. 

“Dalam hal ini, kerajaan memutuskan bahawa syarikat-syarikat penerbangan negara yang menyediakan perkhidmatan udara domestik diberikan kebebasan dalam menentukan liputan rangkaian (network coverage), kekerapan penerbangan dan kadar tambang yang ingin ditawarkan berdasarkan permintaan pasaran.”

Untuk mengatasi masalah kenaikan harga tambang, Wee berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia Berhad and Malindo Air pada 11 Jun lalu.

“Semasa pertemuan, syarikat penerbangan telah diminta mempertimbangkan untuk menurunkan tambang sejajar dengan keputusan kerajaan untuk memberi pengecualian arahan penjarakan sosial dalam pesawat.

“Menurut syarikat penerbangan, walaupun kerajaan telah memutuskan untuk memberi pengecualian arahan penjarakan sosial dalma pesawat, tiket penerbangan tidak semestinya turun dengan serta-merta.

Syarikat penerbangan perlu memastikan terdapat permintaan berterusan dan stabil sebelum harga tambang dapat kembali kepada tahap normal seperti sebelum pandemik Covid-19.

Tinggalkan komen anda