Umno Tg Malim minta timb presiden MCA cari kerusi lain untuk bertanding


shadow

Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim Khusairi Talib meminta Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon mencari tempat lain untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ini kerana, kata Khusairi, Umno Tanjung Malim tidak akan menerima individu yang “bersekongkol dengan pengkhianat” dan menyebabkan kekalahan BN pada PRU lalu.

“Tak mungkin Umno Tanjong Malim menerima seorang yang bersekongkol dengan pengkhianat yang telah turut sama menyebabkan kejatuhan BN di Pusat dan Negeri dalam PRU ke-14 lalu.

“Tak mahu juga perbuatan sabotaj itu berulang dalam PRU ke-15 nanti,” katanya dalam kenyataan di Facebook Isnin lalu.

Khusairi mendakwa bahawa konflik dalaman MCA antara kem yang bersaing untuk melobi Mah dan kem yang melobi bekas setiausaha agung MCA Ong Ka Chuan untuk menjadi calon Tanjung Malim untuk PRU ke-14 lalu telah menyebabkan BN kalah di parlimen Tanjung Malim, selain di DUN Behrang.

Mah Hang Soon

Mah, yang kini menjadi senator dan timbalan menteri pendidikan dalam pemerintahan Perikatan Nasional, akhirnya dipilih untuk menjadi calon kerusi parlimen pada PRU lalu.

Namun, dia dikalahkan oleh Chang Lih Kang dari PKR dengan 5,358 undi.

Khusairi berkata demikian sebagai mengulas beberapa kiriman Facebook sepanjang minggu lalu yang menunjukkan pemimpin MCA Tanjung Malim, termasuk Mah melakukan lawatan dan mengedarkan makanan kepada masyarakat Orang Asli di Behrang, selain mengunjungi bekas pemimpin Umno yang telah berpaling tadah kepada Bersatu selepas pilihan raya.

Khusairi berkata, Ketua MCA Tanjung Malim, Goh Chong Seng juga mengirim hamper dan wang tunai RM100 kepada beberapa ketua cawangan Umno sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Itulah antara pendekatan pimpinan baru MCA Bahagian nak beli semula jiwa pemimpin Melayu bagi menebus dosa mereka memboikot calon BN dari MCA sendiri dalam PRU14 lalu.

“Kumpulan yang kini memimpin MCA Bahagian, ketika itu kecewa bila Ong Ka Chuan tak dicalonkan semula. Mereka melakukan tunjuk perasaan di Putrajaya membantah pencalonan Mah Hang Soon dan pulang berkempen secara terang menyeru penyokong dan pengundi, termasuk ke kampung Orang Asli, supaya jangan undi BN tapi undi PH

“MCA sabotaj MCA. Akhirnya MHS tewas akibat perbuatan khianat sebilangan pemimpin MCAnya sendiri, walaupun hanya menagih seciput undi kaum Cina untuk kemenangan BN,” katanya.

Khusairi juga mendakwa 60 dari 63 cabang Umno di Tanjong Malim telah meluluskan usul agar Umno bertanding di kerusi Tanjung Malim, dan bukannya MCA, pada PRU ke-15.

“Umno Bahagian juga telah membawa usul itu ke Mesyuarat Perwakilannya dan telah diluluskan sebulat suara. Usul itu juga telah dipanjangkan ke BN dan Umno Pusat. Siapa calonnya terpulanglah kepada pucuk pimpinan menentukan.

“Nasihat saya selaku Pengerusi BN Bahagian Tanjong Malim, sebaiknya Mah tidak persia-siakan masanya yang semakin terbatas sebelum PRU15.

“Carilah kerusi lain yang lebih sesuai buat dirinya. Setelah Gerakan meninggalkan BN, antara kerusi yang kini kosong dan boleh ditandingi MCA di Perak termasuklah Teluk Intan, Beruas dan Taiping.

“Itupun jika Timbalan Presiden MCA itu masih mahu juga bertanding di Negeri Perak.

MCA yang hebat itu boleh bertanding di banyak kerusi lain di negeri lain, termasuk Kepong, Damansara, Seremban, Kota Melaka yang majoriti pengundinya Cina,” katanya.

Pengundi Melayu merangkumi 56 peratus pengundi di Tanjong Malim pada PRU ke-14, sementara pengundi Cina terdiri daripada 26 peratus, India 13 peratus, dan kumpulan etnik lain enam peratus.

Tinggalkan komen anda