Umno dan tiga pihak yang lain memperoleh semula RM194 juta sementara menunggu rayuan pihak pendakwaan berhubung saman melucut hak wang berkaitan 1MDB.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan keputusan mahkamah yang sebelumnya menolak saman pelucutan hak terhadap Umno, Wanita MCA, Perano Sdn Bhd, dan Binsabi Sdn Bhd.
Pada 7 Februari, mahkamah menolak saman pelucutan hak oleh kerajaan terhadap Umno, Wanita MCA, Perano dan Binsabi untuk mendapatkan wang berjumlah RM194 juta yang didakwa dari 1MDB.
Pihak pendakwaan menuntut melucutkan wang RM192 juta dari Umno, RM300,000 dari Wanita MCA, RM337,634,78 dari Perano dan RM777,250 dari Binsabi.
Namun, pihak pendakwaan memohon penangguhan bagi mengelakkan wang tersebut dikembalikan kepada keempat-empat responden, sementara menunggu rayuannya ke Mahkamah Rayuan.
Permohonan itu kemudian dijadualkan untuk didengar hari ini.
Ketika ditemui selepas prosiding hari ini, timbalan pendakwa raya Mahadi Abdul Jumaat berkata keputusan hari ini bukan bermaksud Umno dan tiga yang lain akan mendapatkan wang berkenaan serta merta.
Beliau berkata ada beberapa langkah pentadbiran yang harus dilakukan sebelum perkara itu berlaku.
Tinggalkan komen anda