Tindakan pegawai rakam mesyuarat audit 1MDB tidak beretika, kata Ali Hamsa


shadow

TINDAKAN juruaudit kerajaan merekodkan mesyuarat antara jabatan peringkat tertinggi pada 24 Februari 2016 yang membincangkan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah “tidak beretika”, kata bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ali yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata tiada sesiapa yang hadir pada hari itu menyedari mesyuarat yang berlangsung hampir tiga jam, sedang dirakam.

Beliau memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan keempat dalam perbicaraan bersama bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy kerana meminda laporan audit 1MDB.

Ali, 64, disoal balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah mengenai Pengarah Jabatan Audit Negara (NAD) Nor Salwani Muhammad, yang merakam mesyuarat itu tanpa pengetahuan sesiapa dengan meletakkan peranti di dalam kotak pensel rakan sekerja.

Shafee: Adakah sesiapa dari Jabatan Audit Negara meminta izin anda untuk merakam keseluruhan mesyuarat ini?

Ali: Tidak.

Shafee: Sekiranya seseorang meminta izin kepada anda, adakah anda akan menolaknya?

Ali: Saya tidak tahu bagaimana reaksi saya.

Shafee: Itu adalah jawapan yang baik kerana ini adalah kali pertama orang luar dari pejabat anda merakam mesyuarat yang anda pengerusikan. Tetapi mereka boleh membuat permintaan? Dan terpulang kepada anda sama ada anda mahu membenarkannya atau tidak?

Ali: Ya.

Shafee: Adakah anda terkejut salah seorang pegawai bawahan secara rahsia merakam mesyuarat itu?

Ali: Saya terkejut.

Shafee: Adakah anda menganggap ia sesuatu yang tidak beretika jika melakukannya tanpa izin?

Ali: Semua orang dalam bilik itu tidak tahu terdapat rakaman. Oleh itu, ia tidak beretika kerana tiada kebenaran yang diminta. Tiada sesiapa yang tahu.

Shafee: Idea mesyuarat itu adalah agar dapat berbncang dengan sebebas mungkin. Adakah itu betul?

Ali: Ya.

Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk meminda sebahagian laporan akhir audit 1MDB antara 22 dan 26 Februari 2016 di Jabatan Perdana Menteri, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, untuk melindungi dirinya daripada tindakan jenayah.

Arul Kanda dibicarkan kerana bersubahat dengan bekas perdana menteri itu.

Tinggalkan komen anda