SPRM siasat exco Armada berhubung kehilangan wang Syed Saddiq


shadow

Seorang lagi exco Pemuda Bersatu (Armada) hari ini disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatannya mengenai kehilangan wang dari rumah Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya petang ini dan disoal siasat selama kira-kira 30 minit.

“Saya masuk sekitar jam 2.15 petang dan soal siasat mengambil masa kira-kira setengah jam sebelum mereka membenarkan saya keluar,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Anggota Armada, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin dan pembantu Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah sebelum ini membuat laporan polis yang mendakwa dikasari pegawai SPRM ketika disoal siasat sebagai saksi siasatan.

Sementara itu, Syed Saddiq yang setakat ini menegaskan beliau masih merupakan ketua Armada, mengatakan ibu bapanya dipanggil hari ini untuk kali keempat bagi membantu siasatan SPRM dan mereka telah memberikan kerjasama penuh.

“Walaupun Saddiq tak dapat bersama mama dan abuyah pagi ini kerana urusan kerja, Saddiq tahu yang mama dan abuyah kuat dan berani kerana benar.

“Saddiq tahu walaupun mama dan abuyah tak tunjuk, tapi mama dan abuyah terkesan dengan tuduhan bukan-bukan ini. Jangan risau mama. Jangan risau abuyah. Kita sekeluarga di pihak yang benar. Tuhan bersama orang-orang yang benar,” katanya.

Kem Armada yang berpihak kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa SPRM menganiaya mereka yang menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN).

SPRM menafikan siasatan berkenaan bermotifkan politik,  sebaliknya mengatakan ia hanya menyiasat aduan Syed Saddiq yang dibuat pada Mac berhubung kehilangan wang tunai sebanyak RM250,000 dari peti simpanan di rumahnya.

Mahathir, yang disokong Syed Saddiq terlibat dalam perebutan kuasa dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menguasai Bersatu dan kerajaan.

Tinggalkan komen anda