Sanggup bocorkan bot sendiri, PATI cuba raih simpati


shadow

Datang tanpa diundang dengan menaiki bot besar, ratusan pendatang tanpa izin (PATI) Rohingya menceroboh masuk perairan negara dengan merisikokan nyawa mereka di tengah lautan yang gelap-gelita.

Keadaan mereka yang daif berhimpit di dalam bot, digunakan sebagai umpan meraih simpati pihak berkuasa, malahan 269 PATI yang membolosi perairan negara pada awal Jun lalu, tegar sengaja membocorkan dan merosakkan enjin bot, untuk mengelak daripada diusir pihak berkuasa.

Atas dasar kemanusiaan pihak berkuasa berusaha menyelamatkan PATI ini dan membawa bot besar mereka ke jeti berhampiran, sambil dibantu nelayan tempatan untuk menunda bot berkenaan.

Wakil Bernama diberi peluang meninjau dengan lebih dekat bot yang dinaiki PATI Rohingya yang diletakkan di jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Bukit Malut.

Ketika menaiki bot itu, tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka duduk berlutut bersempit-sempit sepanjang pelayaran, bagi membolehkan lebih ramai penumpang dimuatkan di dalam bot. Bot itu juga busuk dengan campuran bau minyak diesel selain keadaannya yang kotor.

Di satu ruangan kecil dijadikan dapur, kelihatan nasi yang sudah berulat mungkin tidak sempat dijamah apabila mereka ditahan pihak berkuasa.

Dalam tempoh pelayaran yang memakan masa berbulan-bulan itu, penumpang wanita dan kanak-kanak diletakkan di bahagian atas bot manakala lelaki diletakkan di bahagian bawah tempat enjin bot.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Pengarah Operasi APMM Kedah dan Perlis Kapten Zulinda Ramly, berkata ketika berjaya menahan 269 PATI dalam operasi yang lalu, mereka bukan sahaja menahan pendatang yang hidup, sebaliknya turut menemui satu mayat dalam bot itu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati jumlah sebenar yang menyertai pelayaran itu melebihi 269 orang. Bagaimanapun, jumlah selebihnya meninggal dunia semasa dalam pelayaran dengan mayat mereka dibuang ke laut.

“Lebih kurang 50 mayat telah dibuang dipercayai ke perairan antarabangsa, semasa dalam tempoh pelayaran, sebelum tiba di perairan Malaysia.

“269 adalah jumlah yang meneruskan pelayaran ke perairan Malaysia. Namun 50 daripada angka itu kemudiannya terjun ke laut apabila menyedari kehadiran bot pihak berkuasa yang mengesan mereka berhampiran Teluk Nibong,” katanya kepada Bernama dalam liputan media ekslusif National Task Force, (NTF) di sini.

Zulinda berkata, pihaknya bersama Pasukan Polis Marin (PPM) menyelamatkan 50 PATI yang terjun itu dan membawa mereka ke bot asal untuk pengusiran ke perairan antarabangsa. Namun, usaha itu gagal apabila mereka sengaja membocorkan dan merosakkan enjin bot.

“Akibat tindakan itu Maritim Malaysia memeriksa keadaan bot mereka dan mendapati, separuh daripada generator pertama bot ditenggelami air lebih kurang paras dada.

“Oleh yang demikian, saya menghubungi Komander NTF untuk arahan lanjut menunda bot mereka untuk dibawa ke perairan cetek bagi kerja-kerja mengepam air keluar dari bot, namun tidak berjaya kerana air semakin banyak masuk,” katanya.

Maritim Malaysia kemudian meminta bantuan bot nelayan tempatan untuk menunda bot PATI itu perairan utara, iaitu berhampiran Pantai Pasir Tengkorak, di sini dan membawa bot mereka di jeti kilang simen dengan bantuan PPM.

Pada 8 Jun lalu, Bernama melaporkan seramai 269 warga Rohingya cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan pihak berkuasa, yang turut menemukan mayat seorang wanita di atas bot yang dinaiki mereka.

Zulinda berkata, tahun ini sahaja, Maritim Malaysia telah menahan empat buat bot iaitu sebuah bot pada bulan Mac, dua bot pada April dan sebuah bot pada bulan Jun ini (terkini). – BERNAMA

Tinggalkan komen anda