Rakyat kekalkan SOP hari pertama PKPP


shadow

Penjarakan sosial dan kawalan kapasiti maksimum penumpang masih diteruskan pengendali pengangkutan awam bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tinjauan mendapati penumpang pengangkutan awam mematuhi arahan penjarakan sosial di dalam Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), bas Rapid KL dan bas percuma GoKL di stesen Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Wartawan mendapati penumpang beratur panjang dari jam 7 pagi sehingga jam 9 pagi di stesen pertukaran MRT dan LRT Pasar Seni.

Mesin pengimbas suhu automatik diletakkan di kaunter pengimbas kad bagi mengesan suhu penumpang sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam stesen dengan lebih cepat.

Ketika beratur bersama penumpang lain, wartawan menyaksikan polis bantuan yang bertugas membantu orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan dengan memberikan keutamaan dengan tidak perlu beratur.

Walaupun terpaksa menunggu lama, penumpang tenang menunggu giliran untuk menaiki LRT laluan Putra Height dan Gombak yang bergerak dengan kekerapan tiga minit.

Selain itu, tinjauan mendapati penumpang di dalam tren mematuhi arahan tidak duduk pada kerusi yang ditanda X bagi mematuhi penjarakan sosial.

Namun, ada segelintir yang tidak mematuhi arahan berdiri di pelekat merah disebabkan tidak mahu menunggu tren seterusnya.

Pekerja muzium di Bukit Bintang, yang hanya mahu dikenali sebagai Ara, 22, berkata, dia tidak terkejut akan berlaku kesesakan di stesen pengangkutan awam hari ini.

“Saya memang sudah jangkakan akan ramai dan beratur panjang. Disebabkan itu saya keluar rumah tiga jam awal sebelum waktu kerja.

“Walaupun begitu saya tetap bersyukur kerana hari ini adalah hari pertama saya masuk bekerja semula setelah dua bulan muzium ditutup,” katanya yang menetap di Sri Kembangan, Cheras.

Pengguna bas GoKL, Muhammad zamri, 47 berkata, dia sudah biasa dengan situasi kebiasaan baharu ini kerana hampir setiap hari menggunakan perkhidmatan itu.

“Ada waktu saya beri laluan kepada pekerja syarikat untuk menaiki bas dulu kerana saya tidak bergegas untuk ke tempat bekerja.

“Kaki saya pun tidak berapa kuat untuk berdiri lama untuk menunggu giliran menaiki bas,” katanya yang bekerja di Pasar Pudu.

Mengulas mengenai kepentingan penjarakan sosial, pekerja ‘Telemarketer’ yang menggunakan perkhidmatan bas dan LRT, Amir Khairi, 25, berkata, ianya penting untuk terus diamalkan selagi belum menemui vaksin.

“Walaupun kes jangkitan COVID-19 semakin menurun, itu bukan menandakan kita tidak perlu lagi mengamalkan SOP yang ditetapkan kerajaan. Bagi saya mencegah adalah lebih baik dari mengubati.

“Kapasiti had maksimum bas perlu terus dilaksanakan demi menjaga kesihatan semua. Saya tidak kisah perlu keluar awal untuk ke tempat kerja kerana amalan ini sebenarnya melatih kita lebih disiplin,” katanya.

Tambahnya, langkah pencegahan dalam memerangi penularan COVID-19 perlu digalas setiap individu supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan terutamanya berada di tempat awam.

Sementara itu, pembantu jualan kios Nasi Lemak Saleha di dalam stesen Masjid Jamek, Johari Soon, 30, berkata, keadaan di waktu pagi stesen itu agak sesak.

“Saya lihat hari ini penumpang makin ramai dan mereka terpaksa beratur untuk menunggu giliran menaiki tren. Pembeli juga meningkat berbanding sebelum ini.

“Namun, keadaan masih terkawal dengan adanya polis bantuan yang memantau pergerakan penumpang,” katanya.

Tinggalkan komen anda