Rakyat akan terus hidup ‘ditemani’ COVID-19 – KKM


shadow

Apa pun keputusan yang bakal diumumkan Perdana Menteri sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan atau dilanjutkan atau mungkin digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPB) di kawasan berisiko tinggi, rakyat akan terus hidup dengan cara baharu ‘ditemani’ COVID-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan di laman sosial Facebooknya, menyatakan COVID-19 telah mengubah kehidupan manusia sejagat, termasuk rakyat di negara ini.

Katanya, apapun pengumuman Perdana Menteri, kita telah menjadi sebahagian sejarah apabila pertama kali negara menguatkuasa PKP pada 18 Mac lalu.

“Penyakit coronavirus-19 atau COVID-19 telah mengubah kehidupan manusia sejagat, termasuk kita semua di Malaysia. Tidak pernah terbayang, rutin harian kita berubah sekelip mata.

“Jalan raya sunyi sepi, pusat beli belah ditutup, pengangkutan awam henti operasi, lapangan terbang ditutup malah kedai serba aneka yang beroperasi 24 jam, 365 hari setahun, 7 Eleven beroperasi dengan had masa.

“Sejak 18 Mac, kita jaga kita biarpun saling tidak kenal. Setiap hari kita berdoa tiada rakyat kita dijangkiti dan meninggal dunia. Sejak PKP, kehidupan kita semua terkesan. Suka atau tidak, ia pengalaman yang akan dicatat dalam sejarah negara ini,” menurut kenyataan itu.

Petang ini, Perdana Menteri akan menyampaikan perutusan khas mengenai PKP.

Turut disentuh, mengenai gaya hidup baharu rakyat sepanjang PKP yang menyaksikan beberapa perkara menjadi viral di media sosial.

“Masak apa tak jadi jadi hari ini, Cik Kiah sehinggalah tarian shuffle Ke Sana Ke Sini, ia akan kekal dalam ingatan kita dan COVID-19 menyebabkan warga Malaysia tidak dapat melaksanakan tiada tradisi balik kampung yang menjadi kebiasaan ramai.

“Tiada tradisi balik kampung sempena Aidilfitri, sambutan Hari Kaamatan dan Pesta Gawai tidak seperti kebiasaan adalah pengorbanan kita untuk negara,”katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan menyatakan sumbangan dan jasa barisan hadapan tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

“Jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan kerana kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah kejayaan awal untuk semua rakyat Malaysia.

“Apapun keputusan diumumkan nanti, kita semua akan terus hidup dengan cara baharu ‘ditemani’ COVID-19. Tiada siapa tahu bila kita akan kembali hidup norma biasa. Harapan kita agar vaksin ditemui segera,” katanya.

Tinggalkan komen anda