‘PH takkan berpecah hanya kerana perbezaan pendapat’


shadow

Beberapa minggu lalu, kebuntuan terhadap pemilihan calon perdana menteri blok pembangkang membawa kepada perselisihan dan perbezaan pendapat antara pemimpin Pakatan Harapan (PH). 

Semalam, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, telah mempertikakan kronologi pertemuan gabungan parti itu seperti yang dinyatakan oleh Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung. 

DAP dan Amanah memang mahu Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menjadi calon PH namun bersikap terbuka dengan cadangan kedua iaitu menamakan Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, sebagai pilihan.

Bagaimanapun PKR bertegas Anwar adalah satu-satunya calon yang diterima oleh parti terbabit.

Hal itu menambah keretakan hubungan antara PKR dengan DAP dan Amanah, selain menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap ahli Bersatu dari kem Mahathir.

Perkara berbangkit itu menimbulkan kebimbangan terhadap hayat serta masa depan PH selepas ia ditubuhkan sebagai alternatif kepada BN sebelum ini dan diberi mandat menjadi kerajaan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Ia menjadi lebih rumit apabila seorang Adun PKR di Pulau Pinang mencadangkan agar parti berkenaan bertindak meninggalkan PH. Cuma untuk rekod Adun berkenaan dilihat kini berada dalam kelompok penyokong bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali.

Sedang mengejar masa

Ketika wawancara dalam talian bersama Malaysiakini semalam, Naib Presiden PKR Chang Lih Kang memberi jaminan bahawa partinya tetap komited kepada PH dan secara konsisten bersikap telus terhadap parti gabungan.

Meskipun tidak bersetuju membangkitkan isu pertemuan peribadi Anwar dengan beberapa pemimpin Bersatu kepada umum, Chang bertegas bahawa gabungan tersebut akan kekal utuh walaupun wujud perbezaan pendapat.

“Saya ingin memberi jaminan kepada penyokong, kami tidak berkelahi […]

“Kami cuma berbeza pendapat dan PH akan kekal utuh, kita tidak akan berpecah kerana satu perbezaan,” katanya.

Hal itu, katanya, lebih ditekankan terutamanya setelah PKR, DAP dan Amanah mempunyai sejarah bersama yang lama.

“Kita telah membina ia dari awal… sejak 20 tahun dan saling menghargai satu sama lain,” tambahnya.

Semalam, Chang menyatakan bahawa beliau lebih rela kekal dalam pembangkang daripada menyokong Mahathir sebagai calon perdana menteri blok tersebut.

Ketika PH kini mengejar masa untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), masih perlu dilihat adakah gabungan parti itu akan bersetuju dengannya.

Di tengah-tengah perbincangan berkenaan rampasan kuasa, PN memberi isyarat bahawa pihaknya sedang bersiap-sedia bagi mengadakan PRU mengejut – emungkin setelah negara pulih daripada wabak Covid-19.

Tinggalkan komen anda