Pesakit kritikal warga asing dibenar masuk Malaysia


shadow

Fasa pertama kebenaran warga asing memasuki negara ini untuk menjalani rawatan perubatan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hanya melibatkan pesakit yang berada dalam keadaan kritikal atau mempunyai penyakit serius.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini mengenai penjagaan kesihatan

“Seperti diumumkan sebelum ini, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP bersetuju untuk membenarkan kemasukan warganegara asing ke Malaysia bagi tujuan perubatan (healthcare travellers).

“Fasa pertama pelaksanaan kebenaran ini terpakai dalam tempoh PKPP dan sekatan perjalanan antarabangsa yang sedang berkuatkuasa.

“Bagi fasa 1A, hanya kes evakuasi perubatan (medical evacuation) sahaja yang dibenarkan. Ini melibatkan pesakit kritikal yang memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau Unit Dependensi Tinggi (HDU).

“Bagi fasa 1B pula, kebenaran ini melibatkan pelancong kesihatan yang mempunyai masalah kesihatan yang serius seperti penyakit barah (oncology), jantung (cardiology) dan penyakit-penyakit lain.

“Warganegara asing yang terlibat perlu mendapatkan surat temujanji terlebih dahulu daripada Hospital yang berdaftar dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC),” kata Ismail.

Tinggalkan komen anda