‘Pengaruh dadah, basikal lajak, mat rempit termasuk dalam pindaan akta’


shadow

Pindaan undang-undang yang dicadangkan oleh kerajaan mengenai hukuman yang lebih keras untuk kesalahan memandu dalam keadaan mabuk juga akan merangkumi kesalahan pemanduan secara berbahaya yang lain.

Menurut Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, ia termasuk memandu di bawah pengaruh dadah, ‘basikal lajak’, dan ‘mat rempit’.

“Untuk makluman, pindaan yang dicadangkan bagi Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) adalah berkaitan dengan pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol atau pemanduan secara berbahaya.

“Oleh itu, sama ada pengguna jalan raya itu di bawah pengaruh dadah atau alkohol atau sesiapa saja termasuk ‘geng basikal lajak’ atau ‘mat rempit’ sekalipun, ia tetap terangkum di dalam cadangan pindaan akta ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden MCA itu berkata isu ini bukan isu agama.

“Ditegaskan bahawa isu pemandu yang dipengaruhi alkohol atau dadah ini tidak ada kaitan langsung dengan orang Islam ataupun bukan Islam.

“Sebaliknya ia lebih menjurus kepada soal keselamatan jalan raya. Cadangan pindaan akta yang akan dimuktamadkan ini adalah bertujuan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang memandu secara merbahaya sehingga memudaratkan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain dan ianya tidak ada kaitan dengan mana-mana kaum.

“Sesuatu tragedi atau kemalangan jalan raya yang berlaku itu tidak mengenal kaum,” katanya.

Wee berharap agar semua pihak tanpa mengira kaum, agama atau ideologi politik menyokong pindaan akta berkenaan.

Gesaan untuk hukuman lebih tegas timbul sekali lagi berikutan lonjakan kes memandu dalam keadaan mabuk baru-baru ini.

Pakatan Harapan ketika menerajui kerajaan sebelum ini mengkaji Akta Pengangkutan Jalan untuk menambah hukuman atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Ia termasuk menambah hukuman penjara bagi pesalah antara enam hingga 20 tahun berbanding peruntukan hukuman ketika ini maksimum tiga tahun.

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke juga mencadangkan had kepekatan darah alkohol yang dibenarkan dikurangkan menjadi 50mg per 100ml darah dari 80mg, dan pesalah yang menyebabkan kematian digantung lesen memandu seumur hidup.

Tinggalkan komen anda