Penganggur termasuk graduan dan lepasan sekolah yang sedang mencari kerja, perlu mendaftar di portal MyFutureJobs Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menyertai Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).
Pihak majikan yang mencari pekerja pula boleh mendaftarkan kekosongan jawatan dan profil mereka menerusi laman sesawang penjanakerjaya.perkeso.gov.my bermula esok.
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata ia selaras inisiatif PenjanaKerjaya yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini bagi merangsang pewujudan pekerjaan dan meningkatkan peluang pekerjaan.
Menerusi program itu, katanya, majikan boleh memilih nama pekerja yang diambil di bawah program itu melalui penjanakerjaya.perkeso.gov.my untuk kelulusan bayaran insentif bermula 1 Julai depan, dan perlu mendaftarkan mereka untuk caruman wajib PERKESO.
Katanya, insentif pengambilan pekerja akan dibayar pada bulan berikutnya selepas caruman PERKESO dibayar, bersama elaun mobiliti untuk pekerja layak yang dibayar kepada pekerja melalui majikan mereka.
“Majikan hanya perlu memohon insentif sekali untuk setiap pekerja yang diambil bekerja dan pembayaran insentif bulan berikutnya selama enam bulan akan dilakukan secara automatik.
“Mulai 1 Julai, jika perlu, majikan boleh memilih daripada senarai kursus yang diluluskan di penjanakerjaya.perkeso.gov.my bagi latihan dan peningkatan kemahiran untuk pekerja mereka yang diambil melalui program ini.
“Program latihan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB). Garis panduan permohonan serta terma dan syarat dikeluarkan kepada majikan hari ini dan boleh diperoleh di laman web PERKESO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 5 Jun lalu ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM9 bilion bagi menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat dan memastikan pengekalan pekerjaan rakyat dalam negara dalam tempoh pemulihan semula ekonomi negara.

Mohammed Azman berkata, PERKESO meneliti peluang bekerjasama dengan pelbagai agensi perkhidmatan pekerjaan swasta ke arah meningkatkan prospek pekerjaan untuk pencari kerja dan penganggur.
“Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Soalan Lazim di laman web rasmi PERKESO. Anda juga boleh hubungi nombor hotline di 03-8091 5300 (Isnin hingga Ahad) atau emel penjanakerjaya@perkeso.gov.my,” katanya.
Sementara itu, soalan lazim PenjanaKerjaya menyenaraikan empat insentif di bawah program itu, iaitu #MyApprentice, #HireMalaysia, Bantuan Mobiliti dan Program Latihan, dengan tarikh akhir permohonan adalah pada 31 Disember 2020.
#MyApprentice adalah insentif untuk majikan yang mengambil pekerja secara perantis dalam kalangan lepasan sekolah dan graduan, manakala #HireMalaysia adalah untuk pengambilan pekerja berusia 40 tahun ke bawah, 40 tahun ke atas dan golongan mudah terjejas seperti orang kurang upaya (OKU) dan peserta Program Return to Work PERKESO.
Majikan layak menerima insentif sebanyak RM600 selama enam bulan maksimum bagi#MyApprentice, manakala RM800 hingga RM1,000 bagi #HireMalaysia, bagi pengambilan pekerja yang tidak bekerja sekurang-kurangnya dua bulan.
Selain itu. majikan tidak boleh memberhentikan pekerja sedia ada dan menggantikannya dengan pekerja sama atau baharu di bawah PenjanaKerjaya dalam tempoh program ini, selain perlu menawarkan kontrak pekerjaan sekurang-kurangnya satu tahun, kecuali kategori MyApprentice.
Insentif yang berikutnya di bawah PenjanaKerjaya tidak akan dibayar kepada majikan sekiranya pekerja dan perantis itu meletakkan jawatan atau telah diberhentikan.
Bantuan Mobiliti pula membolehkan majikan menuntut bantuan RM600 bagi pekerja dan perantis di bawah program ini yang perlu berpindah melebihi 100 kilometer dalam Semenanjung, serta RM1,000 bagi perpindahan membabitkan Sabah dan Sarawak ke Semenanjung atau sebaliknya.
Tinggalkan komen anda