Menteri arah polis siasat kes imej jata negara diubahsuai


shadow

POLIS sudahpun diarahkan untuk menyiasat individu terlibat dengan penerbitan buku dengan kulit memaparkan imej jata negara diubahsuai, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Katanya, siasatan tersebut akan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (1963) berhubung kesalahan meniru lambang yang serupa dengan jata negara.

“Saya telah arahkan PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk siasat dan ambil tindakan yang tegas dengan segera.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan tindakan tidak patriotik dan bertanggungjawab ini,” katanya.

Selain itu, siasatan dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Dua lagi peruntukan terlibat adalah Seksyen Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau menyatakan demikian susulan laporan polis dibuat sekumpulan penyokong kerajaan, Pemuda Perikatan Nasional berhubung buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia.

Sementara itu Bukit Aman dilaporkan mengesahkan menerima laporan mengenai dakwaan penghinaan ke atas jata negara di kulit buku tersebut dan akan memanggil individu terlibat.

Laporan The Star menyebut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Faridalathrash Wahid berkata laporan itu melibaktan pengarang, editor dan juga penerbit buku tersebut.

Buku  Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia diterbitkan syarikat Gerak Budaya dan dijual di laman syarikat tersebut dengan harga RM45.

Maklumat promosi di laman tersebut menyatakan buku tersebut yang diterbitkan tahun ini antara lain memaparkan analisis dan laporan berkait pilihan raya umum 2018.

Tuntutan sama disuarakan Pemuda Umno yang mahu buku tersebut diharamkan.

Rekaan itu dipertahankan seorang artis grafik Fahmi Redza yang berkata tuntutan pengharaman itu sengaja dilakukan untuk memperbesar-besarkan isu perkauman.

Katanya, isu tersebut sengaja ditimbulkan kerana penerbit Gerak Budaya seorang bangsa Cina dan buku itu pula diterbitkan sewaktu Pakatan Harapan masih menguasai kerajaan.

Fahmi seterusnya membandingkan sikap berbeza sewaktu satu lagi buku diterbitkan pada 2011 yang juga memaparkan imej jata negara diubahsuai.

“Ini rekaan buku yang diterbitkan tahun 2011 masa zaman BN. Tak kecoh pun dulu,” katanya di Twitter.

Beliau berkata demikian dengan menyertakan gambar kulit buku Rojak Fakta Malaysia: Butiran Fakta, Angka, Ungkapan dan Anekdot Menarik terbitan ZI Publications.

Tinggalkan komen anda