Mahdzir cadang teruskan PKPB, tapi tambah sektor dibenarkan operasi


shadow

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berpendapat perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) masih perlu diteruskan, bagaimanapun dengan tambahan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula.

Beliau berkata ini kerana negara masih belum berjaya memerangi wabak Covid-19 sepenuhnya, tetapi pada masa sama perlu mengatasi kelembapan ekonomi.

“Pada pendapat saya, PKPB belum lagi boleh dihentikan…Namun, jumlah sektor ekonomi yang diberi kelonggaran untuk kembali beroperasi harus ditambah.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada boleh terus dikuatkuasa dan disesuaikan mengikut sektor ekonomi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijangka akan mengumumkan sama ada PKPB akan diteruskan atau tidak, pada petang ini.

PKP mula dilaksanakan sejak 18 Mac lalu dengan hampir semua sektor ekonomi, kecuali yang dikategorikan sebagai sektor dan perkhidmatan penting, perlu menghentikan operasi.

Menerusi PKPB yang dilaksana bermula 4 Mei pula, kebanyakan sektor ekonomi dibenarkan mula beroperasi tetapi perlu mematuhi syarat dan SOP yang ditetapkan.

Bagaimanapun sejumlah sektor masih tidak dibenarkan operasi, antaranya hiburan dan riadah seperti pawagam, hiburan seperti konsert serta persidangan dan pameran.

Perkhidmatan salun dan gunting rambut serta pasar malam akan kembali dibuka bermula 10 Jun, dengan SOP ketat.

Bagi sektor pendidikan pula, universiti dilaporkan akan meneruskan pembelajaran dalam talian sehingga akhir tahun, manakala tarikh pembukaan sekolah belum ditetapkan walau Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan garis panduannya.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata sekiranya PKPB ditamatkan, ini bermakna kerajaan tidak lagi boleh mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pada masa sama, beliau menyuarakan pujian kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memahui arahan pihak berkuasa sejak hari pertama PKP dilaksanakan.

“Hasilnya, tiada lagi jumlah kes yang tinggi direkodkan dalam kalangan warga tempatan. Kita semakin hampir ke garisan penamat dalam memerangi Covid-19,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda