KMUM tuntut UM kurangkan yuran pengajian


shadow

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menyerahkan petisyen kepada naib canselor universiti itu, Datuk Abdul Rahim Hashim bagi menuntut pengurangan yuran sekurang-kurangnya 25 peratus daripada jumlah semasa.

Petisyen yang dilancarkan pada 1 Jun dan mendapat sebanyak 23,446 tandatangan itu dibuat berikutan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang tidak digunakan pelajar

susulan penutupan universiti semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden KMUM, Muhammad Haziq Azfar Ishak, berkata pengurangan yuran pengajian ini adalah isu yang penting bagi pelajar UM apatah lagi hampir 60 peratus mereka datang daripada keluarga B40.

Beliau berkata, terdapat tiga asas terhadap tuntutan berkenaan iaitu terdapat fasiliti tidak digunakan membabitkan kos utiliti, perpustakaan dan infrastruktur termasuklah bas perantara serta kos logistik bagi peperiksaan akhir termasuklah cetakan kertas soalan.

“Asas kedua adalah bagi menuntut peratusan subsidi yuran pengajian semasa yang sama dan ketiga adalah pengurangan yuran pengajian adalah bagi membantu

rakan pelajar yang rata-ratanya datang dari kumpulan jumlah pendapatan isi rumah B40.

“Justeru petisyen ini adalah inisiatif KMUM mengumpulkan suara pelajar bagi menuntut pengurangan yuran pengajian.

“KMUM melakukan perkiraan mengenai jumlah pengurangan yang boleh dilakukan dan mendapati ia boleh mencecah RM250 atau 25 peratus daripada jumlah yuran pengajian semasa, ” katanya melalui kenyataan media, di sini hari ini.

Muhammad Haziq Azfar mewakili KMUM menyerahkan petisyen itu pada jam 2.45 petang semalam yang diterima oleh Pegawai Khas Naib Canselor, Mohd Khairi Md Jaafar.

Penyerahan petisyen ini juga disokong oleh Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) dan wakilnya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz selaku Setiausaha PKAUM turut hadir bagi memberikan sokongan.

Sebelum ini, Muhammad Haziq Azfar berkata, KMUM mengambil pelbagai inisiatif bagi memperjuangkan isu pengurangan yuran pengajian termasuklah menyerahkan dua kertas cadangan berkaitan isu ini dan melakukan perjumpaan dengan pihak berkepentingan sejak April lalu.

Justeru katanya, KMUM menggesa pihak berkenaan untuk mengambil tindakan segera, termasuklah meluluskan usul ini dalam Jawatankuasa Yuran Universiti dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

“KMUM akan menyokong segala usaha pihak pentadbiran jika tindakan yang diambil adalah bagi menjaga kebajikan pelajar, ” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan memainkan peranan dalam menyelesaikan isu pengurangan yuran pengajian dengan memastikan kadar semasa mencerminkan peratusan subsidi sebanyak kira-kira 90 peratus diberikan kini.

Katanya, disebabkan subsidi ini, pelajar membayar yuran pengajian sebanyak hampir RM1,000 bagi setiap semester bersesuaian dengan perkhidmatan dan fasiliti yang digunakan sebelum pandemik COVID-19.

“Dalam keadaan pelajar sekarang yang menjalani pembelajaran dalam talian, mereka seolah-olah membayar lebih berbanding dengan perkhidmatan dan kemudahan yang digunakan sekarang jauh lebih sedikit berbanding ketika mereka berada di

kampus.

“Jika keadaan ini dibiarkan, subsidi yuran pengajian yang diberikan oleh kerajaan

seperti sudah tidak mencerminkan kadar 90 peratus. KMUM yakin kerajaan akan mengambil tindakan yang mencerminkan keprihatinan kepada rakyat, ” katanya.

Tinggalkan komen anda