KKM syor beri kelonggaran jika kes Covid-19 kekal satu atau dua digit


shadow

Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengesyorkan kepada kerajaan untuk memberi kelonggaran kepada sektor lain seperti sukan dan pendidikan jika kes jangkitan Covid-19 tempatan kekal satu atau dua digit dalan tempoh seminggu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan membincangkan mengenai kemungkinan itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kementerian Kesihatan (sebelum ini) risau sekiranya berlaku peningkatan kes selepas hari raya.

“Jika kita lihat hari ini, kira-kira seminggu (selepas) hari raya, melihat data, tidak ada lonjakan mendadak. Oleh itu, tidak ada kesan atau peningkatan mendadak dalam kes Covid-19,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan jangkitan wabak berkenaan minggu ini.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham menegaskan, KKM akan meneruskan aktiviti pengesanan Covid-19 dalam komuniti walaupun jumlah kes jangkitan semakin berkurangan.

Ujarnya, aktiviti pengesanan kes akan ditingkatkan bagi melihat sama ada wujud kes sporadik dalam komuniti atau berlaku pendedahan kepada kes positif.

Ketika ini, katanya, selain kes pengesanan aktif dalam kalangan kontak rapat bagi kes yang positif, persampelan secara rawak turut dilaksanakan, antaranya di lokaliti yang disyaki membabitkan kumpulan yang terdedah dengan risiko jangkitan.

“Selain itu, kita menjalankan saringan kepada pesakit sebelum pembedahan, yang mana setakat ini dapat mengesan 13 kes positif. Kita juga lihat kes yang membabitkan penyakit paru-paru walaupun pesakit itu tidak perlu dibedah.

“Kita akan melaksanakan persampelan secara rawak dari semasa ke semasa dan mengkaji respon imuniti dalam komuniti itu, sama ada komuniti itu pernah dijangkiti atau sebaliknya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda