Ibu tunggal antara kelompok paling terjejas sewaktu PKP


shadow

Ibu tunggal antara golongan yang paling teruk terjejas sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, menurut dapatan Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif IWB Selangor, Siti Kamariah Ahmad Subki, kajian yang dijalankan terhadap wanita di negeri itu bukan sahaja mendapati rata-rata mereka kehilangan sumber pendapatan disebabkan PKP, malah kebanyakan ibu tunggal tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung hidup mereka.

“Ibu tunggal merupakan yang paling terjejas.

“Kita lihat walaupun 12 peratus daripada semua responden IWB merupakan ibu tunggal, tapi daripada jumlah itu, 42 peratus daripada mereka (ibu tunggal) hilang sumber pendapatan.

“Kebanyakan daripada mereka juga mempunyai pendapatan bulanan isi rumah di bawah indeks kemiskinan,” katanya pada pelancaran buku Telenisa: Statistik dan Dapatan 2019 melalui siaran langsung di Facebook hari ini.

Siti Kamariah berkata demikian sebagai menjawab soalan moderator, Shareena Sheriff, mengenai impak ekonomi wanita sewaktu PKP berdasarkan kajian yang dijalankan oleh IWB Selangor.

Turut menyertai perbincangan tersebut ialah pengasas ringgitohringgit.com, Suraya Zainuddin.

Siti Kamariah berkata kajian IWB Selangor yang dijalankan pada Mac – iaitu pada fasa awal PKP dilaksanakan – membabitkan 442 responden wanita di Selangor.

Suami juga hilang pendapatan

Mengulas lanjut perkara tersebut, Siti Kamariah berkata lebih separuh daripada jumlah ibu tunggal tersebut tidak mempunyai sesiapa yang boleh membantu mereka menjaga anak masing-masing memandangkan mereka mempunyai tanggungan lain, seperti menjaga ibu bapa atau mempunyai anak kurang upaya.

Sebanyak 75 peratus daripada ibu tunggal terbabit, katanya, tiada simpanan yang cukup, sebaliknya cuma memiliki simpanan mencukupi untuk sebulan.

Kerajaan melaksanakan PKP sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19 mulai 18 Mac lalu. Langkah itu menyaksikan banyak sektor ekonomi dan perkhidmatan ditutup, kecuali melibatkan segmen dianggap penting.

Siti Kamariah Ahmad Subki

Perintah itu kemudian dilonggarkan secara berperingkat bagi membenarkan sektor ekonomi lain beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Mulai10 Jun pula kerajaan melaksanakan fasa PKP Pemulihan.

Menurut Siti Kamariah, terdapat 43 peratus wanita berdepan masalah suami kehilangan pendapatan, membabitkan keadaan diminta mengambil cuti tanpa gaji, premis perniagaan ditutup atau kontrak perkhidmatan ditamatkan.

“Ini kita lihat (berlaku) di peringkat awal PKP, sebab kajian ini dijalankan pada Mac, iaitu pada dua minggu pertama (PKP).

“Jadi, awal-awal lagi sudah ada yang kehilangan pendapatan sehingga 43 peratus. Lebih-lebih lagi kita dah berada pada Jun, maka data ni akan lebih meningkat,” katanya.

Tambah Siti Kamariah, terdapat juga wanita yang terpaksa mendapatkan wang melalui pinjaman haram sepert ah long.

Tolak keterangan isteri

Katanya, walaupun jumlah yang terbabit kecil – iaitu sekitar 5 peratus – ia tetap membimbangkan kerana akan memberi kesan kepada golongan terbabit, selain menjejaskan peluang untuk mereka membuat pinjaman pada masa depan.

Terdahulu, Shareena yang juga pengurus program Telenisa berkongsi statistik dan dapatan klinik bantuan guaman yang disediakan oleh Sisters In Islam (SIS).

Menurut Shareena, klien mereka sering menzahirkan masalah berhubung kelemahan sistem perundangan yang menyebabkan kes-kes mahkamah berpanjangan.

“Mereka kecewa kerana proses perundangan ini mengambil masa lama. Ada yang sampai 10 tahun, dan kebanyakannya antara lima hingga 10 tahun,” katanya.

Tambah Shareena, antara aduan yang diterima mereka adalah berkaitan prosedur mahkamah yang rumit, perlu ke mahkamah tinggi dan rendah, hakim berlainan pendapat, caj peguam syarie yang mahal, perkhidmatan tidak profesional, peguam datang lewat ke mahakmah atau tidak bersedia dengan kes mereka.

“Isu berkenaan hakim pula umpamanya menolak keterangan isteri kerana suami tidak hadir, memanjangkan kes cerai sebab suami enggan menceraikan, atau hakim menolak persetujuan hak lawatan walaupun ibu bapa telah bersetuju dengan logistiknya.

“Jadi inilah isu yang kami lihat dalam kes Telenisa,” katanya.

Dapatan Telenisa itu boleh dimuat turun melalui laman web mereka di sini.

Tinggalkan komen anda