Ibadat haji: Kemampuan negara buat persediaan juga diambil kira


shadow

Jumlah kes COVID-19 di Arab Saudi yang melepasi angka 100,000 antara perkara yang menjadi pertimbangan bagi memutuskan sama ada Malaysia akan menghantar jemaah bagi menunaikan haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata perkara itu menjadi sebahagian daripada perbincangan pelbagai pihak dan badan berautoriti negara.

“Kita tetap ikut tertib perbincangan demi perbincangan daripada pelbagai pihak untuk memutuskan yang terbaik bagi maslahah kepada rakyat.

“Ia termasuk melihat berkenaan ibadat haji yang terkait dengan istito’ah (kemampuan mengerjakan haji) daripada keamanan, selamat dari wabak dan memastikan kesihatan berada pada prestasi terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif Sempena Nuzul Quran 1441H anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, kemampuan negara untuk membuat persediaan sekiranya Arab Saudi membenarkan jemaah dari luar negara melaksanakan haji tahun ini, turut perlu diambil kira.

“Semua perkara ini diambil kira, di samping masa tempoh masa dan kemampuan kita untuk membuat persediaan dalam situasi COVID-19 ini.

“Kami akan cuba garap sehabis baik dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan Khamis ini atau hari yang akan ditentukan,” katanya.

Tinggalkan komen anda