Had hutang M’sia boleh ditingkatkan melepasi 55 peratus – MIDF


shadow

Walaupun nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia boleh mencecah sehingga had statutori 55 peratus menjelang hujung tahun, had itu bersifat ”penetapan sendiri’ dan boleh diubah melalui parlimen jika dianggap perlu bagi kesejahteraan rakyat, kata Pengarah Urusan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Datuk Charon Wardini Mokhzani.

Secara teknikal, badan perundangan itu boleh meningkatkan had hutang tetapi ini bergantung kepada sesi perbincangan dan Malaysia akan menunggu keputusan tersebut, katanya.

“Secara teknikalnya, kita boleh letak lebih tinggi disebabkan had siling itu, kita yang tetapkan melalui sesuatu akta, ini boleh diubah melalui parlimen (bagi meningkatkan lagi) kepada 60-65 peratus bergantung kepada keperluan negara,” katanya semasa webinar “Surviving and Embracing Malaysia’s New Normal” hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata tahap hutang negara, sekarang pada 52 peratus, mungkin mencecah 55 peratus pada hujung tahun ini disebabkan oleh langkah yang dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bertujuan untuk mengurangkan beban hidup serta sebagai rangsangan ekonomi.

Menurut MIDF, sektor yang menerima kesan positif dalam era normal baharu adalah infrastruktur teknologi maklumat, pengeluar peralatan, pemaju perisian, teknologi awan, sarung tangan, peralatan perlindungan peribadi, peralatan perubatan, pembekal pendidikan dalam talian dan e-dagang.

Sementara itu, sektor yang neutral adalah pembuatan serta pemprosesan makanan, manakala sektor terjejas secara negatif terdiri daripada bidang peruncitan, makanan dan minuman, pelancongan, syarikat penerbangan, pusat hiburan termasuk kompleks membeli-belah.

Realitinya, wabak COVID-19 meninggalkan kesan ke atas sebahagian sektor perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam lima kelompok isu seperti tekanan ke atas aliran tunai, pinjaman tersedia tetapi tidak mudah diakses, logistik dan isu pelabuhan, gangguan rantaian bekalan dan kekangan dalam memenuhi peningkatan permintaan.

Ketua Pembangunan Kewangan MIDF, Azizi Mustafa memberitahu daripada segi akses kepada kewangan, kerajaan telah mengumumkan hampir RM300 bilion dalam pakej rangsangan untuk membantu ekonomi dan perniagaan berjalan.

Malaysia telah membiayai pakej rangsangan yang merangkumi RM260 billion untuk PRIHATIN dan RM35 bilion (PENJANA) untuk keluar dari kemerosotan ekonomi.

“(Bagaimanapun,) saya menjelaskan adalah mustahil untuk kerajaan mampu membantu semua syarikat serta memberi bantuan kepada semua sektor dalam ekonomi.

“Persoalannya, sektor mana yang kerajaan perlu datang dan bantu, sektor mana yang perlu diutamakan. Kita tahu ini adalah mustahil (untuk bantu semua pihak),” kata Azizi.

Sebagai contoh, beliau menunjukkan kepada sektor pelancongan yang merupakan sektor paling terjejas.

Azizi menampilkan soalan yang retorik: Perlukan kerajaan memperuntukkan sejumlah besar dana, dan jika perlu, berapa banyak? Bagaimanapula dengan sektor yang tidak dibantu atau tidak mendapat bantuan yang mencukupi daripada kerajaan?

Beliau juga mendedahkan terdapat banyak isu penyampaian yang mencakupi sama ada bantuan kepada perniagaan yang perlu, diberikan dengan pantas atau tidak.

Beliau ketika memetik kenyataan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata tinjauan mengenai keadaan PKS semasa COVID-19 oleh SME Corp Malaysia dalam menghadapi cabaran yang dihadapi bagi akses insentif mendapati, 30.1 peratus daripada responden mengadu bahawa proses kelulusan pinjaman adalah terlalu perlahan dan tidak mudah.

Cabaran lain adalah terma dan syarat pinjaman yang ketat (37.4 peratus), kekurangan maklumat dan prosedur yang tidak jelas mengenai insentif rangsangan (29.2 peratus) termasuk keperluan untuk opsyen selain daripada pembiayaan hutang (17.9 peratus).

Katanya, kadar ambilan untuk pelbagai pinjaman yang diberikan oleh kerajaan adalah lebih kurang dua peratus; tidak banyak PKS yang mendapat manfaat daripada pinjaman mudah ini, yang mana, hanya tiga daripada 10 syarikat PKS mengambil insentif.

Khusus untuk perusahaan mikro, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembiayaan Mikro PENJANA dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tekun Nasional yang melibatkan pembiayaan sebanyak RM400 juta, yang mana RM50 juta didedikasikan kepada usahawan wanita.

Beliau ketika mengulas mengenai perniagaan mikro berkata pinjaman mikro-kredit yang diluluskan oleh BSN dan Tekun Nasional merangkumi hanya empat peratus daripada 600 pemohon kredit mikro.

Menjelaskan, sebab utama angka permohonan kredit mikro agak rendah, Azizi berpendapat mungkin bank atau institusi kewangan mengambil sikap yang terlalu berhati-hati dalam memberi pinjaman.

“Mungkin, mereka (bank atau institusi kewangan) hanya memberi pinjaman kepada pelanggan yang mereka yakin, yang mereka tahu merupakan majikan yang baik atau mungkin proses memohon pinjaman adalah terlalu rumit, proses terlalu perlahan atau (kurang) kejelasan mengenai pinjaman bantuan kerajaan kepada perniagaan,” kata Azizi, sambil menambah bahawa bank mungkin masih mengamalkan pendekatan pra-COVID-19 daripada segi penilaian kredit.

“Kita perlu menangani isu-isu ini secara serta-merta jika kita benar-benar mahu memulakan semula, membuat lonjakan dan menukar gear ekonomi supaya kita boleh pulih dengan lebih cepat,” kata Azizi.

– Bernama

Tinggalkan komen anda