Gesa buka semula sempadan kepada pelancongan perniagaan


shadow

Kerajaan perlu membuka semula pintu kepada pelancong perniagaan dari rakan dagang serantau secara berperingkat, terutamanya ASEAN, China dan negara Jalur dan Laluan dengan syarat keselamatan tertentu, sejajar usaha membuka lebih banyak sektor ekonomi.

Presiden Persatuan Jalur dan Laluan Malaysia, Datuk Seri Chuah Poh Khiang, berkata membenarkan pelancong perniagaan, yang memenuhi syarat keselamatan melancong ke Malaysia penting untuk menjana semula perdagangan dan pelaburan luar negara dalam

persekitaran ekonomi domestik yang lembap.

“Memandangkan situasi pandemik COVID-19 di Malaysia dan beberapa negara seperti China, Thailand dan Vietnam telah stabil, serta lebih banyak langkah keselamatan yang menyeluruh dilaksanakan oleh kerajaan.

“Tiba masanya mempertimbangkan bagi memulihkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun warga asing masih dilarang memasuki banyak negara, bagaimanapun, katanya terdapat negara dengan kawalan pandemik yang lebih baik mula melonggarkan peraturan seperti Thailand membenarkan warga asing dengan permit kerja atau kebenaran untuk memasuki negara itu.

Chuah berkata, dengan prosedur operasi standard (SOP) dan syarat keselamatan tertentu, kerajaan juga boleh membuka semula sempadannya secara berperingkat dan memberi keutamaan kepada pelancong perniagaan dari negara dan rantau yang diklasifikasikan sebagai zon hijau.

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda