Dr Mahathir perli Muhyiddin, jemput Melayu masuk parti baharu untuk jadi kaya


shadow

DR Mahathir Mohamad meneruskan serangan ke atas Muhyiddin Yassin dengan menyindir perdana menteri kelapan itu yang banyak mengagihkan jawatan kepada pemimpin politik Melayu dalam kerajaan.

Pengasas parti Bersatu itu berkata, memandangkan parti tersebut berpecah-belah, beliau akan menubuhkan satu lagi parti politik khusus untuk memperkayakan pemimpin politik Melayu.

Dr Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi berkata, pertubuhan dengan nama “Parti Apa Aku Dapat” itu bertujuan untuk memberi kekayaan secara pelantikan dalam badan yang akan ditubuhkan kerajaan.

“(Caranya), melantik sebagai pegawai dalam badan yang akan ditubuh khusus untuk memenuhi hasrat memberi pendapatan yang lumayan kepada yang belum dapat dan yang ingin dapat banyak lagi.

“Siapa yang belum dapat boleh buat permohonan untuk jadi ahli, atau presiden, timbalan presiden, naib presiden dan lain-lain,” katanya dalam tulisan di blog chedet.cc.

Ia sambungan kepada tulisan terdahulu yang mengkritik Muhyiddin kerana memberi jawatan dalam agensi dan syarikat kerajaan kepada ahli Parlimen Bersatu, Umno dan PAS yang tidak dilantik menteri.

Jawatan itu juga ditawarkan kepada ahli Parlimen yang menghadapi tuduhan di mahkamah.

Muhyiddin menjadi perdana menteri selepas membawa keluar Bersatu dari Pakatan Harapan dan membentuk gabungan baharu dengan bekas pemimpin PKR Azmin Ali, parti PAS, BN dan GPS.

Para pemimpin parti berkenaan seterusnya dilantik ke pelbagai agensi strategik dan syarikat berkaitan kerajaan.

Tinggalkan komen anda