COVID-19: Rakyat pulang ke tanah air kuarantin di rumah mulai 10 Jun


shadow

Bermula Rabu depan, rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara perlu menjalani kuarantin di rumah dan tidak lagi ditempatkan di pusat kuarantin seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka akan menjalani ujian calitan sebaik tiba di pintu masuk negara dan individu yang didapati positif akan terus dihantar ke hospital, manakala yang negatif dibenarkan pulang untuk menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Selain itu, katanya, rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air juga diwajibkan memakai gelang tangan dan memuat turun aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar masing-masing, bagi memudahkan proses pengenalan dan pemantauan.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mewartakan peraturan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) supaya individu yang ingkar kuarantin boleh dikompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah bagi hukuman denda dan penjara.

“Kita mengubah peraturan ini kerana jumlah rakyat Malaysia dari luar negara yang positif COVID-19 selepas 14 hari hanya sekitar satu peratus.

“Selain itu, kes positif COVID-19 di negara lain di seluruh dunia juga terkawal dan lingkungan jangkitan sudah melandai dan menurun, malah kita juga berjaya meningkatkan keupayaan melakukan ujian saringan di pintu masuk.

“Walaupun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, mereka tetap dipantau melalui aplikasi MySejahtera yang perlu dimuat turun sebelum tiba ke tanah air, selain boleh dikenal pasti menerusi gelang tangan jika ada yang keluar dari kediaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Mengenai penempatan individu yang pulang ke tanah air sebelum mereka mendapat keputusan ujian calitan, Ismail Sabri berkata, hasil ujian itu boleh diperoleh dalam tempoh antara satu hingga dua jam menerusi penggunaan kit ujian pantas (RTK) antigen.

“Untuk dibenarkan pulang ke rumah, mestilah selepas keputusan ujian dikeluarkan. Insya-Allah, Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan hasil ujian dapat diperoleh dalam waktu singkat.

“Namun, jika ada masalah tertentu, sebagai contoh keputusan ujian mengambil masa dua hari, maka mereka akan ditempatkan di pusat kuarantin sepanjang tempoh menunggu hasil ujian itu,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan, seramai 50,873 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib di pusat kuarantin sejak 3 April dan daripada jumlah itu, 40,805 individu selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

Tinggalkan komen anda