Penjarakan sosial, had kemasukan pelanggan di premis perniagaan dan penumpang dalam kenderaan awam adalah kebiasaan baharu yang perlu terus dipatuhi rakyat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata rakyat perlu mengamalkan kebiasaan baharu ini kerana rantaian COVID-19 ini masih ada selagi tiada vaksin.
“Memang banyak kelonggaran diberi tetapi prosedur operasi standard (SOP) terus dikuatkuasakan dan sebab itu dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini jumlah yang masuk dalam premis perniagaan dihadkan, selain penjarakan sosial.
“Asas SOP kita penjarakan sosial. Alasan kita hadkan jumlah orang dalam pasar raya supaya tidak bersesak-sesak yang boleh menyebabkan pelanggan bersentuhan dan berlaku ketidakpatuhan terhadap penjarakan sosial.
“Saya harap penjarakan sosial akan menjadi kebiasaan baharu kepada rakyat Malaysia. Ini perkara terbaik yang tidak pernah kita lihat kerana sebelum ini berebut nak naik bas dan kereta api, tetapi kini orang ramai beratur.
“Jika ini dijadikan amalan, saya percaya kita dapat putuskan rantaian wabak COVID-19,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.
Tinggalkan komen anda