Sebanyak 37 kes jangkitan Covid-19 baru direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,303 kes.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah ini, 8 adalah kes import.
“Daripada 29 kes penularan di dalam negara, 19 kes adalah bukan warganegara dan 10 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini..
Dr Noor Hisham berkata, seramai 25 pesakit telah sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih daripada wabak itu seramai 6,635 orang.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,552 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.
Menurut Noor Hisham, seramai lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.
Selain itu, satu lagi kematian baru dilaporkan melibatkan seorang wanita warga emas berusia 79 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Mac lalu setelah disahkan positif Covid-19.
Beliau disahkan meninggal dunia petang semalam, menjadikan jumlah kematian setakat ini seramai 117 orang.
Tinggalkan komen anda