Buah tangan terbaru Zunar – Hello Mr Peng Khia Nutt


shadow

Kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, hadir dengan buah tangan terbaru bertajuk Hello Mr Peng Khia Nutt.

Hello Mr Peng Khia Nutt merupakan komentar terbarunya berhubung perkembangan politik semasa di Malaysia dan buat pertama kalinya diterbitkan dalam bentuk e-buku sahaja.

Selain topik-topik yang lazim disentuhnya seperti rasuah dan kepimpinan negara, Zunar berkata buku terbaru itu turut memuatkan satira berkenaan perkembangan mutakhir ini.

“Isu-isu ini termasuk: Rasuah, pengkhianatan terhadap mandat rakyat, kepemimpinan yang lemah serta pembadutan seperti isu doraemon, tik-tok, air suam, 500 negara dan lain-lain seumpamanya.

“Saya mahu menyediakan bahan ketawa kepada warga yang dirundung kemurungan akibat suasana politik kebelakangan ini. Terima kasih kepada semua encik-encik dan puan-puan Peng Khia Nutt sekalian,” katanya dalam kenyataan.

E-buku dengan 91 halaman itu boleh dibeli di laman web rasminya dengan harga RM10.

Mengulas lanjut, beliau memilih untuk menerbitkannya sebagai e-buku kerana merasakan ia wadah terbaik bagi pembaca di saat krisis Covid-19.

“Ia tidak akan menjana pendapatan yang baik kerana terdedah kepada cetak rompak dan penduaan, tetapi matlamat utama saya bukanlah mencari wang, sebaliknya untuk menyampaikan mesej melalui kartun saya,” katanya lagi.

Pada masa sama, Zunar berkata mereka yang ingin memberi sumbangan juga boleh ke laman webnya.

“Saya harap dengan adanya sumbangan tuan-tuan dan puan-puan, ia akan membantu saya untuk terus berkarya,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda