Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menasihatkan pengguna jalan raya yang melakukan perjalanan rentas negeri supaya bersabar dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan tekanan sepanjang berada di jalan raya.
Ketua Pengarahnya, Dr Khairil Anwar Abu Kassim, berkata pihaknya menjangkakan rakyat akan berpusu-pusu memandu merentas negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini.
Katanya, keadaan itu dibimbangi memberi tekanan kepada pemandu akibat memandu dalam kesesakan lalu lintas.
“Oleh itu, pemandu diingatkan untuk peka dan mempraktikkan cara pemanduan yang selamat dan juga memastikan langkah persediaan sebelum memulakan perjalanan jauh.
“Patuhi had laju dan jangan lupa untuk sentiasa pakai tali pinggang keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini yang membenarkan rakyat untuk merentas negeri.
Kerajaan melarang pergerakan rentas negeri selama lebih tiga bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan COVID-19.
Khairil Anwar berkata, MIROS turut meramalkan bilangan kemalangan jalan raya akan meningkat apabila aktiviti merentas negeri dibenarkan secara menyeluruh dan tanpa sekatan berbanding tempoh PKP sebelum ini.
Katanya, ini kerana bilangan kenderaan di atas jalan raya dijangka akan meningkat secara mendadak untuk balik kampung dan pulang beraya memandangkan Syawal belum berakhir sehingga 22 Jun nanti.
“Sehubungan itu, MIROS mencadangkan beberapa langkah yang dapat dilakukan untuk mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya antaranya pemandu utama perlu mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum melakukan perjalanan jauh.
“Perjalanan pada waktu malam amat tidak digalakkan memandangkan badan kita tidak dilatih untuk memandu pada masa itu.
“Dikhuatiri pemandu akan rasa mengantuk dan lebih senang untuk terlelap ketika memandu dan gejala ‘microsleep’ ini sering kali menyumbang kepada kemalangan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan pengguna jalan raya di negara ini juga gemar menggunakan motosikal sebagai kenderaan alternatif bagi mengelak daripada kesesakan lalu lintas, sekali gus mengurangkan penggunaan masa di atas jalan raya.
Bagaimanapun katanya, penunggang motosikal lebih terdedah kepada bahaya berbanding pengguna kenderaan yang lain.
“Justeru itu, pemakaian yang bersesuaian seperti vest pemantul cahaya ketika menunggang motosikal wajib dipakai untuk memastikan mereka dapat dilihat pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, berdasarkan analisis MIROS terhadap data kemalangan jalan raya sepanjang tiga fasa PKP oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya menunjukkan penurunan daripada purata pada hari biasa iaitu 17 kes kematian kepada lima kes sepanjang PKP.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 73 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal dan 95 peratus kemalangan berlaku di jalan persekutuan, jalan bandaran dan jalan luar bandar.
Tinggalkan komen anda