Bekalan terhad, permintaan menguncup punca harga ayam naik, kata menteri


shadow

KENAIKAN harga ayam selepas pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dipengaruhi faktor bekalan yang terhad selepas permintaan menguncup dan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama lebih dua bulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata permintaan yang menguncup berikutan premis perniagaan, restoran, hotel dan majlis keraian tidak boleh beroperasi ketika tempoh pelaksanaan PKP.

Namun, beliau berkata isu itu adalah fenomena kitaran bekalan yang bersifat sementara, dan bekalan dijangka pulih dalam sedikit masa lagi.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus memantau situasi tersebut dan mengambil tindakan di bawah kuasa dan peruntukan akta yang diberikan jika perlu.

“KPDNHEP ingin menasihatkan semua pemain industri, pemborong dan peniaga agar bersikap adil dan tidak mengambil kesempatan dalam situasi sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kelonggaran yang diberikan membolehkan semua sektor ekonomi beroperasi sepenuhnya setelah terhenti seketika, tidak dijadikan peluang untuk mengaut keuntungan secara tidak munasabah.

Dalam pada itu, Nanta berkata pengguna perlu sentiasa menjadi pengguna bestari dengan menggunakan semua pilihan yang ada untuk berbelanja kerana masih ada premis menjual ayam pada harga berpatutan.

“Pengguna dinasihatkan agar membuat perbandingan harga ayam dan barang keperluan pengguna melalui aplikasi Price Catcher bagi mendapatkan harga dan premis yang terbaik sebelum berbelanja,” katanya.

Beliau berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan digerakkan di seluruh negara untuk memantau harga ayam di pasaran tempatan bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan tersebut. – Bernama

Tinggalkan komen anda