Kerajaan akan terus melaksanakan prosedur standard operasi (SOP) COVID-19 termasuk mengekalkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial selagi vaksin wabak berkenaan belum ditemui.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pematuhan kepada SOP ditetapkan itu penting bagi mengelakkan penularan semula wabak berkenaan.
Katanya, pada masa ini ada usaha dilakukan mencari vaksin oleh beberapa negara maju dunia, namun ia masih belum ditemui.
“Saya jangkakan selagi wabak COVID-19 belum selesai dan vaksin belum temui, kita kena patuh pada SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KMM), supaya kita tidak dijangkiti.
“Pematuhan kepada SOP pula perlu diamal dan dilakukan sepanjang masa sehingga KKM memaklumkan sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, beliau amat berbangga dengan rakyat Malaysia yang amat berdisiplin dan mematuhi SOP ketat ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata, walaupun ada segelintir rakyat yang masih tidak mematuhi sepenuhnya SOP, jumlahnya sangat kecil.
“Apa yang berlaku kepada negara kita ketika peraturan sekatan perjalanan dikuatkuasakan dan diperkenalkan tidak pernah berlaku sejak merdeka.
“Saya masih ingat lagi, saya baru sahaja mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac dan pada 18 Mac keputusan bersejarah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan bagi mengawal penularan COVID-19.
“Alhamdulilah, dunia iktiraf apa yang kerajaan lakukan dalam mengawal COVID-19 sehingga Malaysia diiktiraf sebagai lima negara terbaik di dunia dalam melakukan langkah kawalan pandemik itu.
“Apa yang istimewa, kerajaan hendak rakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petugas dan anggota perubatan selain anggota badan beruniform,” katanya.
Muhyiddin berkata, sudah tiba masanya rakyat memberi peluang kepada petugas kesihatan negara berehat sementara selepas bertungkus-lumus ketika pandemik COVID-19 memuncak sebelum ini.
“Pemimpin masyarakat perlu mengambil alih peranan petugas kesihatan kita dengan sentiasa mengingatkan masyarakat supaya mematuhi SOP sepanjang masa bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19,” katanya.
Tinggalkan komen anda