‘Ahli politik dalam GLC bukan hal baru, tapi tetap beri kesan buruk’


shadow

Lantikan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sudah menjadi kebiasaan buat kerajaan di negara ini yang menurut beberapa pakar ekonomi membawa kesan buruk kepada pentadbiran syarikat tersebut.

Bagaimanapun ia bergantung kepada sejauh mana kuasa yang ada pada ahli politik tersebut dalam menentukan perjalanan dan hala tuju GLC.

Bagi Prof Dr Barjoyai Bardai, masalah besar akan berlaku jika ahli politik yang dilantik mempunyai kuasa veto dalam syarikat tersebut.

“Persoalan yang timbul, adakah pengerusi lantikan politik dalam GLC itu mempunyai kuasa veto yang akan mempengaruhi pengurusan dan proksi. Jika begitu ia akan jadi masalah.

“Ini kerana keputusan yang dibuat mereka akan mempunyai implikasi besar dan memihak kepada minat dan kepentingan politik mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Barjoyai, pelantikan ahli politik boleh dikatakan hanya sebagai simbol dalam GLC tersebut tetapi ia akan dipersoalkan jika mereka menerima bayaran melangkaui kelayakan yang dimiliki.

Terdahulu timbul dakwaan Anggota Parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerima elaun bulanan kira-kira RM1 juta.

Bagaimanapun TNB dalam kenyataan semalam menafikan perkara itu dan berkata jumlah yang diterima Mahdzir jauh lebih rendah berbanding dakwaan itu dan ia dinyatakan dalam laporan tahunan syarikat.

Senada dengan Barjoyai, penganalisis dasar awam Lim Teck Ghee berkata masih ramai pakar yang mahir dan berpengalaman boleh dilantik untuk menerajui GLC, berbanding ahli politik.

‘Lantikan politik tak beri kesan pada GLC’

“Pelantikan ahli politik hanya akan meruntuhkan urusan perniagaan dan politik negara dan berisiko menyebabkan salah urus tadbir syarikat.

“Wakil rakyat seharusnya memimpin kawasan dan Parlimen. Mereka tidak seharusnya mempunyai urusan dalam GLC,” katanya lagi.

Lebih tiga bulan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan persekutuan, ramai anggota Parlimen gabungan itu telah dilantik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan.


Ia mengundang kritikan ramai yang mengatakan langkah itu untuk mendapatkan sokongan mereka terhadap pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, satu rakaman audio juga disebarkan yang menunjukkan suara mirip Muhyiddin dengar mengatakan bahawa ahli parlimen Umno akan bergabung dengan Bersatu jika mereka ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pakar ekonomi dari Universiti Malaya (UM) Prof Rajah Rasiah juga berkata ia bukan satu perkara baru, tetapi berharap ahli politik yang dilantik layak untuk memegang jawatan tersebut.

“Ia bermula dengan pemerintahan kerajaan BN dan dituruti oleh kerajaan Pakatan Rakyat (di peringkat negeri antara tahun 2008 dan 2013) dan seterusnya PH. Walaupun PN telah menambah bilangan ahli politik (yang dilantik), ia cuma meneruskan amalan ini.

“Ia boleh menggugat prestasi syarikat dan melencongkan kegiatan kepada hal yang bukan optimum. Perbadanan kerajaan ada matlamat sosial jadi harapan saya adalah agar pelantikan (ahli politik) menepati piawaian yang tegas,” katanya lagi.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berpendapat pelantikan ahli politik tidak akan memberi kesan terhadap GLC.

“Tidak akan beri kesan kepada GLC tetapi kita harus pantau dan ahli lembaga pengarah khususnya kena bantu pengerusi dalam membuat satu keputusan.

“Ini sebab syarikat GLC bukan hanya pegerusi yang bekerja, ada ramai lagi dari ahli lembaga pengarah dan pakar ekonomi. Jadi tidak akan kiamat kalau nak letak orang politik terajui GLC,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda