24,000 aduan isu kebajikan, buang pekerja sepanjang PKP


shadow

 Kementerian Sumber Manusia menerima hampir 24,000 aduan melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhubung isu kebajikan dan pembuangan pekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan secara berperingkat kerana JTK perlu mengambil masa lebih panjang bagi menyiasat dan menyelesaikan perkara itu.

“Kementerian memberi jaminan akan mengambil langkah segera bagi mempercepat dan menyelesaikan semua aduan berkenaan,” katanya dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Inisiatif PENJANA HRDF di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kesal atas kelewatan JTK menangani isu berkenaan hingga menjejaskan urusan lain antaranya tuntutan pampasan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Saravanan berkata, kerajaan turut menerima aduan terdapat segelintir majikan yang enggan membayar Program Subsidi Upah (PSU) kepada pekerja melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) diluluskan kerajaan.

Tegasnya, PSU adalah hak pekerja dan sekiranya majikan ingkar pekerja boleh membuat aduan kepada PERKESO.

Tinggalkan komen anda