Zahid: Lantikan politik dalam GLC pastikan agenda k’jaan, bela rakyat


shadow

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata pelantikan ahli parlimen mengetuai syarikat dan agensi berkaitan kerajaan adalah untuk memastikan mereka dapat melaksanakan agenda kerajaan.

Beliau berkata pelantikan itu juga bagi memastikan semua syarikat, agensi dan institusi berfungsi melaksanakan aspirasi kerajaan dalam memajukan negara dan ekonomi rakyat terbanyak.

Kenyataan itu hadir di tengah kritikan bahawa lantikan politik yang dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini merupakan langkah kebelakang berbanding pembaharuan dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan tadbir urus yang baik.

” Umno mengucapkan tahniah kepada wakil-wakil rakyat dari kalangan Umno, MCA, MIC dan PAS yang dilantik menjadi pengerusi atau ahli-ahli Lembaga Pengarah GLC, GLIC, suruhanjaya serta agensi dan institusi-institusi milik atau berkaitan kerajaan.

“Pelantikan tersebut adalah suatu amanah dan tanggungjawab bagi memastikan semua syarikat, agensi dan institusi berfungsi melaksanakan semua agenda serta aspirasi kerajaan dalam memajukan negara dan ekonomi rakyat terbanyak.

“Ini dapat memastikan keterlibatan langsung pemimpin parti-parti gabungan Muafakat Nasional dalam Kerajaan Persekutuan untuk memantau perlaksanaan dasar dan perjalanan operasi syarikat-syarikat, agensi serta institusi kerajaan supaya dapat terus memastikan kebajikan rakyat dipelihara,” kata Zahid dalam satu kenyataan di Facebook.

Muafakat Nasional merujuk kepada pakatan antara Umno dan PAS.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut mengenai Perikatan Nasional, gabungan parti kerajaan yang terdiri daripada Bersatu, BN, PAS, GPS, PBS dan Star.

Zahid berkata sudah menjadi tradisi tradisi kerajaan BN sebelum ini memacu ekonomi negara serta membangunkan sosioekonomi rakyat melalui keterlibatan GLC dan GLIC dalam banyak projek serta perniagaan strategik terutamanya pembangunan infrastruktur.

“Saya minta semua Pengerusi serta ahli-ahli lembaga pengarah wakil Muafakat Nasional supaya berkhidmat dengan amanah dan berdedikasi,” katanya.

Tambah beliau, meskipun komposisi lembaga pengarah syarikat kerajaan terdapat wakil-wakil lantikan politik, beliau yakin anggota pengurusan kanan iaitu ketua-ketua eksekutif dan pengarah urusan tetap dilantik dari kalangan profesional berasaskan merit, kelayakan, pengalaman serta kesesuaian bidang tugas mereka.

“Insya-Allah ahli-ahli lembaga pengarah (bukan eksekutif) dapat memberi dukungan serta menyumbang idea-idea yang baik kepada pasukan pengurusan profesional dalam menambah baik operasi syarikat-syarikat kerajaan,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda