Virus tak kenal sempadan, tak pilih etnik, darjat – Dr Noor Hisham


shadow

Kerajaan dan masyarakat perlu berkerjasama supaya memastikan pendekatan menyeluruh dalam memerangi wabak Covid-19, kata Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada hantaran di Facebook malam ini, beliau mengulas kes Covid-19 yang dikesan di pusat tahanan imigresen.

“Virus ini tidak mengenal sempadan dan tidak memilih sebarang etnik dan darjat sosial.

“Dalam menyelamatkan nyawa, sentimen negatif terhadap tahanan tidak wajar diperluas dan tidak boleh menjadi pemangkin diskriminasi,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Noor Hisham berkata langkah-langkah sewajarnya telah diambil.

“Memandangkan virus yang merebak di pusat-pusat ini, kami perlu meningkatkan pengesanan kes aktif dan mengasingkan serta menangani kes positif tersebut dengan segera.

“Kuarantin kontak rapat tersebut dan basmi kuman pusat tahanan berkenaan,” katanya lagi.

Amaran berulang kali oleh kumpulan hak asasi manusia bahawa serbuan dan penahanan warga asing tanpa dokumen semasa pandemik Covid-19 berisiko mencetuskan wabak di pusat tahanan imigresen nampaknya menjadi kenyataan selepas tiga depoh tahanan imigresen disahkan kes Covid-19.

Noor Hisham Abdullah dalam suatu kenyataan hari ini mengumumkan satu lagi kluster jangkitan baru di Depot Tahanan Imigresen Sepang.

Ia sehari selepas KKM memaklumkan kluster baru di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih.

Sebelum ini, kluster baru juga berlaku di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Semalam Noor Hisham turut mengumumkan penemuan kluster baru di pusat tahanan imigresen di Semenyih dengan 21 kes.

Hari ini, beliau mengumumkan 27 lagi kes baru di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih.

Sehingga semalam, Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil merekodkan 60 kes Covid-19.

Hari ini negara mencatatkan 60 kes baru Covid-19 dengan 44 melibatkan warga asing.

Tinggalkan komen anda