“Usah ambil mudah arahan kerajaan untuk memutuskan rantaian bagi menangani wabak COVID-19 kerana kesannya cukup perit ditanggung bagi mereka yang diserang penyakit itu,” kata seorang pesakit COVID-19 yang hanya mahu dikenali sebagai Za.
Mekanik berasal dari Kedah yang kini bekerja di Asia Barat berkata, selepas diserang penyakit itu, pada 8 Mei lalu, kehidupan sebelum ini normal kini menjadi gelap, selain pelbagai perkara bermain di fikiran termasuk soal kematian.
Katanya, selepas 19 hari bertarung dengan penyakit itu yang pada awalnya tidak langsung mempunyai gejala, beliau kini semakin pulih.
Namun, Za masih menunggu ujian terakhir dalam beberapa hari sahaja lagi daripada Kementerian Kesihatan di negara berkenaan sebelum mengetahui statusnya sama ada negatif atau sebaliknya.
“Selepas sah dijangkiti COVID-19 pada pertengahan Ramadan iaitu 8 Mei lalu, saya begitu panik dan fikiran mula memikirkan perkara yang bukan-bukan lebih-lebih lagi saya berada di perantauan.
“Keesokannya semakin teruk apabila nafas semakin sesak dan mula menyerang pada bahagian kepala sebelum sakit kepala bertukar tanda demam dan sakit tekak, tidur malam terganggu akibat rasa tidak selesa.
“Hampir empat hari demam dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius dengan kahak agak banyak walaupun tidak batuk dan bersin. Saya tidak terdaya menanggung sakit teramat sangat, tidak selesa pada bahagian belakang dan lima hari tak puasa, keadaan semakin teruk.
“Saya dinasihatkan seorang doktor pakar dari Terengganu mengamalkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran, selain merendam kaki dengan ais untuk beberapa minit selama tiga kali sehari ketika demam.
“Saya juga mengamalkan vitamin C selain tidak putus-putus berdoa terutama pada Ramadan, keluarga dan rakan beri kata semangat.
“Alhamdulillah selepas menjalani rawatan dan mengamalkan pengambilan makanan itu secara berterusan, suhu badan semakin stabil serta tidak demam lagi selain sakit yang menyerang anggota badan semakin lega, namun masih belum disahkan negatif kerana menunggu ujian terakhir.
“Saya berharap ‘swab test’ terakhir mendapat keputusan yang baik. Saya tetap reda dengan ujian besar dan percaya ada hikmah di sebaliknya ketika bermusafir.
“Kisah saya kongsikan diharap dapat menjadi pedoman dan memberi kesedaran pentingnya duduk di rumah, jaga penjarakan sosial, jaga kebersihan termasuk kerap mencuci tangan dan wabak pandemik berbahaya serta boleh membunuh.
“Saya meminta rakyat Malaysia berdoa rantaian pandemik ini akan dapat diputuskan dan kembali pulih dan saya akan menamatkan zaman bujang pada hujung tahun ini dengan gadis Terengganu,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.
Tinggalkan komen anda