Tidak terkejut COVID-19 berlaku akibat aktiviti manusia terhadap alam sekitar – Ahli akademik


shadow

COVID-19 perlu dilihat sebagai darurat kesihatan planet supaya kaedah mengatasi punca sebenar membabitkan kerosakan kepada alam sekitar, dapat dilihat lebih terperinci.

Penasihat Perubahan Iklim dan Kelestarian, Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS), Dr Renard Siew, berkata kesan manusia terhadap alam sekitar, selain perubahan iklim dipercayai mampu meningkatkan risiko pandemik termasuk COVID-19 dan wabak lain, pada masa akan datang.

Katanya, naratif COVID-19 penting untuk dirangka sebagai darurat kesihatan planet kerana jika isu itu tidak ditangani dengan betul, ia akan dilihat dari perspektif penjagaan kesihatan sahaja.

“Ini bermakna tindakan yang diambil hanyalah bagi menangani masalah terdekat seperti memastikan PPE (peralatan perlindungan diri) mencukupi, sekuriti makanan terjamin dan penyelesaian jangka pendek untuk mengatasi COVID-19.

“Mereka tidak melangkah lebih jauh untuk mengkaji punca sebenar COVID-19 dari segi penebangan hutan dan perdagangan hidupan liar. Saya rasa cukup penting untuk melihat ke arah itu,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada penganjuran webinar mengenai ‘Perubahan Iklim, COVID-19 dan Pandemik Mendatang’ anjuran Pusat Sains Media (SMC) Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Klima Action Malaysia (KAMY).

Webinar itu turut disertai ahli panel Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar) Fakulti Perubatan Veterinar, UMK, Dr Sandie Choong dan Pengerusi KAMY, Ili Nadiah Dzulfakar.

Dr Renard berkata, ketika ini, tiada kepentingan mendesak untuk menangani krisis iklim yang sama seperti COVID-19 berikutan penangguhan beberapa inisiatif iklim utama akibat wabak itu, termasuk persidangan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) COP26 yang dijadual berlangsung di Glasgow pada November.

“Sebaliknya, kita harus melihat COVID-19 sebagai peluang keemasan untuk kita memikirkan kembali cara kita melakukan sesuatu dan bertindak sewajarnya seperti memindahkan pelaburan ke ekonomi hijau yang boleh diperbaharui.

“Kita tidak seharusnya kembali ke cara biasa kerana ‘normal’ itu adalah punca mengapa semua ini bermula. Pencemaran alam sekitar juga mungkin bertambah buruk selepas pandemik berikutan pengoperasian semua industri yang dijangka dipertingkatkan bagi menebus kehilangan masa dan produktiviti,” katanya.

Sementara itu, Dr Sandie, berkata sejarah membuktikan kesan manusia kepada alam sekitar, termasuk haiwan liar menyebabkan sesuatu wabak berlaku seperti jangkitan virus Nipah dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Beliau berkata, pihaknya tidak terkejut melihat sejarah jangkitan itu berulang dengan wabak COVID-19, malah menjangkakan wabak itu berlaku lebih awal berikutan kontak manusia dan haiwan liar yang tidak berkurangan.

“Dalam kes wabak Nipah, menerusi kajian mendalam epidemiologi mendapati punca kelawar buah tertarik ke kebun buah berhampiran adalah kerana musim kering dan panas berpanjangan serta kebakaran hutan yang berlaku menyebabkan haiwan itu hilang habitat dan sumber makanan.

“Begitu juga bagi AIDS, virus itu berasal dari primat bukan manusia, terutama di beberapa negara yang mengamalkan pemakanan daging haiwan liar. Binatang seperti chimpanzi ditangkap dan disembelih, sekali gus mendedahkan manusia kepada daging mentah dan organ haiwan berkenaan.

“Apabila manusia mempunyai kontak dengan haiwan secara tidak normal, ia akan meningkatkan risiko jangkitan penyakit. Selepas SARS, mungkin akan ada beberapa penyakit berjangkit lain akan menular kerana tindakan manusia,” katanya.

Tinggalkan komen anda