Tergamam polis periksa rumah


shadow

Polis hari ini mula melakukan pemeriksaan mengejut dari rumah ke rumah di sekitar daerah ini bagi memastikan tiada individu yang pulang ke kampung halaman dengan menggunakan jalan tikus.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata sebanyak 25 buah rumah diperiksa pihaknya sejak jam 8 pagi hingga jam 2 petang tadi.

Katanya, rata-rata penduduk terkejut apabila melihat kehadiran beberapa pegawai dan anggota mengunjungi beberapa buah rumah bagi menjalani pemeriksaan selepas dilihat berpotensi untuk melanggar syarat dan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

“Pemeriksaan mengejut ini akan diteruskan sepanjang hari raya, bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terus dipatuhi.

“Setakat ini tiada notis kompaun yang dikeluarkan namun kita menasihati orang ramai untuk tidak memandang ringan perintah yang dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, tinjauan BH bersama pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar mendapati jumlah kenderaan di beberapa kawasan setempat seakan bertambah dari jumlah kebiasaannya.

Selain itu, pemeriksaan mengejut turut dilakukan di beberapa pasar tumpuan yang dikunjungi penduduk bagi membeli persiapan menyambut Aidilfitri esok.

Keadaan sedikit sesak, namun terkawal berikutan kehadiran anggota polis yang mengawal penjarakan sosial.

Bagaimanapun, hasil tinjauan di beberapa pintu masuk ke negeri ini mendapati jalan raya lengang selain tidak banyak jumlah kereta yang dilihat masuk ke negeri ini.

Tinggalkan komen anda